SEREMBAN: Semua parti politik dinasihatkan supaya memastikan penyokong dan petugas mereka memakai topi keledar ketika menunggang motosikal pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata aspek keselamatan dan pematuhan peraturan jalan raya perlu dititikberatkan bagi mengelakkan kemalangan selain memastikan kempen berlangsung dalam suasana tertib serta selamat.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata beliau turut mengingatkan semua petugas kempen parti itu supaya sentiasa memakai topi keledar semasa menyertai konvoi bermotosikal.
“Kita mahu memastikan kempen PRN selamat dan tidak menyebabkan kemalangan jalan raya. Semua parti mahu menang tetapi jangan berkempen sehingga melanggar peraturan jalan raya. Perkara paling mudah ialah memakai topi keledar.
“Pada hari penamaan calon semalam, saya berkonvoi dari Pekan Titi ke Kuala Klawang. Saya sudah berpesan jika tiada topi keledar, jangan sertai konvoi. Ini perkara asas yang perlu dipatuhi semua,” katanya.
Loke berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra bersama-sama enam calon PH iaitu Ho Weng Wah (Temiang), Lee Kai Yet (Mambau), Siau Meow Kong (Rahang), Nicole Tan (Bukit Kepayang) S. Mugunthan (Seremban Jaya) dan Chew Seh Yong (Lobak) di Pasar Besar Seremban hari ini.
Dalam pada itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menasihatkan semua calon dan penyokong supaya tidak berdiri di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang bergerak kerana tindakan itu boleh mengundang bahaya.
Beliau turut berharap semua parti dan pemimpin yang turun padang berkempen dapat menunjukkan teladan yang baik dengan mematuhi undang-undang jalan raya sepanjang tempoh berkempen.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian manakala undi awal pada 28 Julai.
Sebanyak 889,490 pengundi berdaftar layak memilih pada PRN kali ini terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal.
-- BERNAMA