Skip to main content

Sukan

Piala Dunia 2026: Ribut petir ganggu persiapan Sepanyol, Argentina menjelang final

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Final - FIFA Technical Study Group Press Conference - New York New Jersey Stadium, East Rutherford, New Jersey, U.S. - July 18, 2026 General view inside the stadium ahead of the final REUTERS/Amanda Perobelli
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran ribut petir teruk dan potensi banjir kilat di seluruh kawasan metropolitan New York serta New Jersey. -Foto Reuters

NEW YORK: Persiapan Sepanyol dan Argentina menjelang perlawanan akhir Piala Dunia 2026 terganggu akibat ribut petir serta hujan lebat yang melanda New Jersey pada Sabtu.

Keadaan cuaca itu menyebabkan skuad Sepanyol membatalkan sesi latihan luar yang dijadualkan berlangsung di Padang Latihan Melanie Lane.

Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat bagi mematuhi protokol keselamatan berkaitan ribut yang ditetapkan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Susulan pembatalan tersebut, barisan pemain bimbingan Luis de la Fuente hanya menjalani sesi memanaskan badan di dalam dewan tertutup kompleks latihan berkenaan.

Sementara itu, juara bertahan Argentina turut berdepan gangguan apabila sesi latihan mereka di Morristown terpaksa ditunda selama 45 minit akibat keadaan cuaca yang sama.

Bagaimanapun, sebaik sahaja ancaman petir berlalu, kapten pasukan Lionel Messi mengetuai rakan sepasukannya meneruskan latihan taktikal dalam hujan lebat.

Sebelum ini, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran ribut petir teruk dan potensi banjir kilat di seluruh kawasan metropolitan New York serta New Jersey.

Meskipun persiapan kedua-dua pasukan terjejas, pakar meteorologi menjangkakan cuaca cerah dengan suhu sekitar 29 darjah Celsius ketika perlawanan akhir berlangsung pada Ahad.

 

Must Watch Video

Advertisement