Skip to main content

Malaysia

DUN Perlis lulus usul cadangan pemberatan hukuman pesalah pemandu mabuk

KANGAR, 3 Jun -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan titah Diraja pada Perasmian Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra hari ini.  Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini meluluskan usul Cadangan Pemberatan Hukuman Mandatori dan Pemerkasaan Penguatkuasaan Terhadap Pesalah Pemandu Di Bawah Pengaruh Alkohol (DUI) di negeri ini. - BERNAMA

KANGAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini meluluskan usul Cadangan Pemberatan Hukuman Mandatori dan Pemerkasaan Penguatkuasaan Terhadap Pesalah Pemandu Di Bawah Pengaruh Alkohol (DUI) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Wan Zikri Afthar Ishak ketika mengemukakan usul itu berkata ia bagi mendesak satu tindakan bersepadu antara agensi negeri dan Persekutuan dalam memperkukuh mekanisme pencegahan serta hukuman terhadap pemandu mabuk.

“… demi menjamin keselamatan nyawa, terutamanya rakyat di Perlis yang kita cintai ini,” katanya semasa persidangan DUN itu di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Beliau berkata usul berkenaan bersifat umum, inklusif dan tidak sesekali menyasarkan mana-mana agama, kaum atau golongan tertentu dengan ia menumpukan sepenuhnya kepada aspek keselamatan awam, keadilan sosial dan tanggungjawab bersama semua pengguna jalan raya.

Wan Zikri Afthar mencadangkan lima tindakan drastik yang perlu diambil bersama melalui ketetapan dalam persidangan DUN itu iaitu memfailkan syor tegas kepada Kerajaan Persekutuan, pemerkasaan penguatkuasaan peringkat negeri, kawal selia premis dan tanggungan sosial syarikat, langkah pencegahan dan kesedaran belia serta sokongan mutlak kepada mangsa dan keluarga.

Beliau berkata keselamatan jalan raya adalah hak asasi rakyat dan bukannya isu perdebatan undang-undang semata-mata, iaitu ia adalah soal nyawa manusia dan Perlis tidak boleh terus menjadi pemerhati bisu terhadap tragedi yang berulang itu.

Usul itu juga, katanya bukan sekadar untuk menghukum pesalah tetapi juga memastikan tiada lagi nyawa yang terkorban sia-sia akibat kecuaian yang boleh dielakkan.

“Setiap kematian akibat pemandu mabuk adalah satu kegagalan sistemik yang sebenarnya boleh dicegah melalui dasar yang lebih tegas dan pelaksanaan yang lebih berkesan di peringkat lapangan,” katanya.

Selain itu, persidangan DUN itu turut meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Peruntukan Diraja (Pindaan) 2026.

Persidangan DUN Perlis bersambung esok

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement