Skip to main content

Malaysia

Dua lelaki didenda RM4,000 sebar kandungan palsu di TikTok

Sumber: Astro AWANI
Mohd Aiman (tiga, kiri) dan Romfazly Syam (dua, kanan) masing-masing didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut. - Gambar/ Astro AWANI

SEPANG: Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menerusi aplikasi TikTok, bulan lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap setiap tertuduh atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh pertama, Mohd Aiman Zaini Satar, 29, yang merupakan pemandu peribadi didakwa pada 4 April lalu menggunakan akaun TikTok @aimanzaini24 dengan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berupa hantaran palsu dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana individu.

Hantaran itu dikesan pada 5 April kira-kira jam 11.00 pagi di Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan IMPACT, Cyber 6, Cyberjaya, Sepang.

Seorang lagi tertuduh, Romfazly Syam Mohd Mokhtar, 46, yang merupakan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) didakwa melakukan kesalahan sama pada 4 April kira-kira jam 3 petang menggunakan akaun TikTok @fazlydrako.

Kandungan berkenaan dikesan pada 5 April kira-kira jam 11.03 pagi di lokasi sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(2) akta sama, iaitu denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri.

Must Watch Video

Advertisement