KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Jun 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, namun sedikit perlahan berbanding 2.0 peratus yang direkodkan pada Mei 2026.
Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 137.1 mata daripada 134.5 mata pada Jun 2025.
Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, peningkatan inflasi pada bulan berkenaan disumbangkan terutamanya oleh kumpulan Pengangkutan, meskipun kadar kenaikannya lebih sederhana berbanding bulan sebelumnya.
"Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Jun 2026 berbanding 2.0 peratus pada bulan sebelumnya, dengan mata indeks meningkat kepada 137.1 daripada 134.5 (Jun 2025)," katanya.
Mereka memaklumkan kumpulan Pengangkutan mencatat inflasi 2.8 peratus pada Jun 2026 berbanding 3.8 peratus pada Mei, manakala kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan serta Pendidikan turut merekodkan pertumbuhan lebih perlahan masing-masing pada 3.4 peratus dan 2.1 peratus.
Pada masa sama, beberapa kumpulan utama menunjukkan peningkatan lebih tinggi termasuk Insurans dan Perkhidmatan Kewangan yang meningkat kepada 5.7 peratus berbanding 4.9 peratus pada Mei.
Kumpulan Restoran dan Perkhidmatan Penginapan turut meningkat kepada 2.6 peratus, manakala Maklumat dan Komunikasi mencatat 2.4 peratus.
"Kumpulan Insurans & Perkhidmatan Kewangan mencatatkan peningkatan kepada 5.7 peratus pada Jun 2026 berbanding 4.9 peratus pada bulan sebelumnya," tambahnya.
Di peringkat negeri, tujuh negeri merekodkan kadar inflasi melebihi purata nasional iaitu Pahang (2.6 peratus), Johor (2.5 peratus), Negeri Sembilan (2.5 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (2.3 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.2 peratus), Kedah (2.0 peratus) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.0 peratus).
Bagi perbandingan bulanan, inflasi keseluruhan pada Jun 2026 tidak menunjukkan sebarang peningkatan berbanding Mei selepas merekodkan kenaikan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, inflasi Malaysia bagi suku kedua 2026 meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.6 peratus yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.
Peningkatan itu didorong antaranya oleh kumpulan Insurans dan Perkhidmatan Kewangan, Pengangkutan serta Minuman Alkohol dan Tembakau.