SEREMBAN: Keadaan cuaca diramalkan baik pada sebelah pagi di kebanyakan daerah di negeri ini pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, esok
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata cuaca cerah diramal di Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin, manakala Port Dickson serta Seremban dijangka mengalami hujan.
Beliau, bagaimanapun berkata kebanyakan daerah dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang pada hari berkenaan.
“Berdasarkan data semasa, hujan bersifat sementara dan tidak signifikan. Hujan diramal tidak lebat berpanjangan sebaliknya hujan lalu atau sekejap sahaja.
“Suhu minimum seluruh negeri dijangka antara 23 hingga 24 darjah Celsius, manakala suhu maksimum antara 32 hingga 33 darjah Celsius,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Hisham berkata orang ramai termasuk calon, penyokong dan petugas disaran mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang MetMalaysia di www.met.gov.my.
PRN Negeri Sembilan akan mula berlangsung esok dengan proses penamaan calon di lapan Pusat Penamaan Calon bermula 9 pagi sebelum ditutup 10 pagi, diikuti pengumuman rasmi calon-calon yang layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bertanding keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan 16 calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP (11) dan Amanah (sembilan) manakala Barisan Nasional (BN) bertanding 25 kerusi dengan UMNO bertanding di 16 kerusi, MCA (tujuh) dan MIC (dua).
Turut mengumumkan akan menyertai proses demokrasi itu ialah Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di 11 kerusi melibatkan lima calon PAS, empat calon Parti Wawasan Negara (Wawasan), serta masing-masing satu daripada Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Selain itu, turut mengumumkan menyertai PRN kali ini ialah Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), dengan masing-masing mempertaruhkan seorang calon.
Petang ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengumumkan senarai calon mewakili parti itu untuk bertanding pada PRN berkenaan.
DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Julai ini sebagai hari pengundian awal, manakala 1 Ogos sebagai hari mengundi.
Berdasarkan daftar pemilih dikeluarkan SPR, seramai 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini.
Daripada jumlah berkenaaan, 867,151 adalah pengundi biasa, manakala 16,884 adalah anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA