KUALA TERENGGANU: Dua beradik perempuan dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Jeram Hulu, di sini, petang tadi.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba (JBPM) Terengganu Baharum Hasim berkata pihaknya menerima laporan kecemasan kejadian itu pada 3.11 petang sebelum dua jentera dengan 12 anggota bomba dan satu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) digerakkan ke lokasi.
"Berdasarkan maklumat saksi, semasa kejadian terdapat empat remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun melakukan aktiviti mandi-manda di Sungai Jeram Hulu, di sini, sebelum seorang daripada mereka lemas diikuti tiga lagi rakannya yang lain.
"Bagaimanapun dua daripada mereka, yang masing-masing berusia 12 tahun berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital, manakala dua lagi dipercayai masih hilang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Baharum berkata anggota PPDA kini giat menjalankan kerja pencarian di permukaan.
Sementara itu, seorang saksi kejadian Wan Mohammad Naqiuddin Wan Muda, 33, berkata kejadian berlaku apabila seorang daripada mangsa mandi di seberang sungai, sebelum lemas.
“Melihat keadaan itu, tiga rakannya turun ke sungai untuk membantu, namun kesemua mereka turut tenggelam dan lemas.
"Saya bergegas pergi mengambil bot, manakala seorang lagi orang kampung berenang untuk capai seorang daripada mangsa dan membawanya ke tebing. Seorang lagi mangsa, kami jumpa kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian selepas dihanyutkan arus deras dan air pasang, manakala dua lagi gagal ditemukan," katanya.
-- BERNAMA