SUBANG: Tindakan seorang lelaki warga Pakistan menggunakan kelayakan perubatan milik individu lain untuk menyamar sebagai doktor dan beroperasi di sebuah klinik swasta di sini terbongkar dalam serbuan pada Khamis.
Serbuan kira-kira jam 11.50 pagi itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama sebulan.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan di klinik swasta berkenaan membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai menjalankan aktiviti sebagai doktor tidak bertauliah.
Menurut kenyataan itu, semakan awal mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
"Pasukan operasi telah menyita peralatan perubatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan ini, antaranya cap nama suspek, cap nama klinik, tablet, buku rekod urus niaga, dokumen Perakuan Amalan Tahunan (APC) dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan premis klinik swasta itu sejak lapan bulan lalu untuk menjalankan aktiviti perubatan secara tidak sah.
"Klinik tersebut juga dipercayai dikendalikan oleh seorang warga asing yang tidak mempunyai kebenaran sah untuk bekerja dalam sektor perubatan di negara ini," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Tambah kenyataan itu, suspek dipercayai diambil bekerja oleh individu berkenaan bagi menjalankan tugas sebagai doktor tidak bertauliah.
Jelasnya, bagi mengaburi pihak berkuasa dan meyakinkan pesakit, klinik itu dipercayai menggunakan dokumen APC serta kelayakan perubatan milik individu lain.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati klinik ini juga dipercayai mengeluarkan sijil cuti sakit tanpa melakukan pemeriksaan atau penilaian kesihatan terhadap pelanggan yang hadir serta mengenakan bayaran sebanyak RM20 bagi setiap pelanggan," ujarnya.
Tambah kenyataan itu lagi, suspek ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Seorang wanita warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," ujarnya.
Menurut kenyataan itu lagi, tangkapan ini merupakan kes keempat sejak tahun 2024 yang dikesan oleh JIM membabitkan warga asing yang dipercayai menyamar atau menjalankan aktiviti sebagai doktor tidak bertauliah.
"Jabatan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara," ujarnya. -Sinar Harian