Skip to main content

Malaysia

Diplomasi tenaga: Malaysia muncul pemain geopolitik penting walau negara kecil - Prof Azmi

KAZAN, June 18 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim (left) shakes hands with Russian President Vladimir Putin before the ASEAN-Russia Commemorative Summit Gala Dinner at the Gallery Area of the Tatar State Academic Theatre today.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Hubungan erat antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia Vladimir Putin disifatkan sebagai persefahaman yang kukuh dalam isu keterjaminan tenaga. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia kini muncul sebagai pemain geopolitik yang signifikan dalam sektor tenaga global melalui pendekatan diplomasi tenaga yang strategik, meskipun sering dianggap sebagai sebuah negara kecil.

Ahli geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Azmi Hassan berkata, kejayaan ini berpuncak daripada keakraban dan kepercayaan tinggi antara kepimpinan negara dengan pemimpin kuasa besar tenaga dunia seperti Rusia dan Turkmenistan.

Beliau menyifatkan hubungan erat antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia Vladimir Putin serta hasil lawatan ke Turkmenistan baru-baru ini, sebagai pemangkin kepada persefahaman yang kukuh dalam isu keterjaminan tenaga.

"Diplomasi sekarang amat penting dan keakraban serta kepercayaan antara pemimpin dengan pemimpin, serta kerajaan dengan kerajaan, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

"Sekiranya tiada kepercayaan terhadap pemimpin kita, maka sukar bagi Malaysia untuk mendapatkan persefahaman, bukan sahaja daripada Rusia tetapi juga Turkmenistan yang merupakan pemain utama industri gas," katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut mengenai diplomasi tenaga tersebut,beliau menjelaskan bahawa strategi itu amat kritikal memandangkan kos tenaga dunia yang kini semakin mahal selain ketidaktentuan politik di Asia Barat yang berisiko merencatkan pembangunan sesebuah negara.

Jelas beliau, peranan Petronas di Turkmenistan bukan sahaja menjamin bekalan tenaga domestik untuk jangka masa panjang, malah memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara pengeksport utama gas asli cecair (LNG) ke pasaran Asia Timur termasuk Jepun dan Korea Selatan.

"Ini sudah tentu menjaminkan potensi pulangan ekonomi yang besar kepada negara. Inilah yang dinamakan sebagai geopolitik tenaga.

"Selama ini, mungkin ramai melihat Petronas hanya sebagai entiti yang memberi royalti RM20 bilion ke RM30 bilion kepada negara, namun hakikatnya untuk mencapai tahap sekarang, ia memerlukan masa dan pelaburan yang sangat besar," katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa melalui diplomasi dimensi baharu ini, Malaysia kini berada di kedudukan kukuh bukan sahaja sebagai pengeksport LNG, malah minyak mentah di peringkat global.

"Walaupun Malaysia dianggap negara kecil, keupayaan kita untuk menjadi pemain geopolitik yang penting dalam hal tenaga menunjukkan kekuatan diplomasi luar negara yang sangat berkesan," katanya.

Must Watch Video

Advertisement