KOTA BHARU: Cita-cita yang dipupuk sejak kecil untuk menyarung kot putih sebagai doktor hampir musnah dek kekangan kewangan, namun buat seorang anak yatim, harapan itu kembali mekar apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) tampil menawarkan bantuan.
Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Jeli, Mohamad Solihin Mohd Nasir, 19, sebelum ini hampir menolak tawaran mengikuti Ijazah Perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir selepas keluarganya tidak mampu menampung kos pengajian dan sara hidup berjumlah hampir RM100,000 sepanjang lima tahun di sana.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akan meneliti penyelesaian terbaik bagi memastikan Mohamad Solihin dapat meneruskan cita-citanya, sama ada di Universiti Al-Azhar atau mengikuti pengajian perubatan di Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) dengan tajaan MARA.
“Jika beliau memilih untuk ke Mesir, MARA akan membantu menyediakan laluan termasuk mengikuti kursus Bahasa Arab terlebih dahulu bagi memenuhi syarat kemasukan sebelum memulakan pengajian.
“Pilihan kedua ialah mengikuti pengajian perubatan di USMKK dengan tajaan MARA,” katanya menerusi panggilan video selama hampir 15 minit ketika menghubungi Mohamad Solihin di Kampung Kubang Keranji, di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata MARA sentiasa mengutamakan pelajar cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan, khususnya anak yatim, supaya faktor kewangan tidak menjadi penghalang untuk melanjutkan pelajaran.
“Kita memang memberi fokus kepada pelajar seperti Mohamad Solihin. Tambahan pula latar belakang keluarganya susah dan dia anak yatim. Memang golongan seperti ini yang kita utamakan,” katanya.
Mohamad Solihin yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.96 ketika mengikuti program di Kolej Matrikulasi Kelantan berkata beliau hampir menolak tawaran yang diterima pada 15 Jun lepas kerana memikirkan kemampuan keluarganya.
Beliau berkata bapanya, Mohd Nasir Abdul Rahman, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2014 ketika dia berada di Tahun Satu, manakala ibunya, Faridah Mohamad, 60, yang menghidap penyakit tiroid kini bergantung kepada sumbangan anak-anak lain untuk menyara kehidupan.
“Saya hampir menolak tawaran ini kerana memikirkan soal kewangan walaupun sudah lama bercita-cita menjadi doktor,” katanya.
Beliau berkata gurunya di MRSM Jeli turut menggerakkan kutipan derma selain permohonan bantuan dikemukakan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Yayasan Islam Kelantan, Yayasan Kelantan Darulnaim, MARA serta beberapa agensi lain.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata hasrat menjadi doktor, khususnya pakar bedah kardiotorasik, lahir selepas bapanya meninggal dunia akibat penyakit jantung.
Sementara itu, Faridah berkata dia hanya mampu berdoa agar impian anaknya menjadi kenyataan kerana keluarga tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membiayai pengajian berkenaan.
“Saya gembira dia dapat peluang belajar di Mesir, tetapi kami memang tiada duit untuk menghantarnya dan hanya mampu berharap ada pihak sudi membantu kerana sejak kecil lagi itulah cita-citanya,” katanya.
Mohamad Solihin yang dijadual berlepas ke Mesir antara 21 hingga 29 Ogos ini sekiranya memperoleh dana mencukupi berkata beliau tetap berhasrat meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar walaupun perlu mengikuti kursus Bahasa Arab terlebih dahulu.
Sebelum mengakhiri panggilan video itu, Asyraf Wajdi turut menasihati Mohamad Solihin supaya terus istiqamah menjaga hubungan dengan Allah melalui solat tahajud, zikir al-Ma’thurat dan mengulang hafazan al-Quran sepanjang menuntut ilmu.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu Mohamad Solihin melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Mohamad Solihin Mohd Nasir di nombor 03120027878649.
-- BERNAMA