SEREMBAN: Sektor pertanian di daerah Seremban terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan nilai pengeluaran sebanyak RM45 juta dengan jumlah pengeluaran mencecah 14,671.27 tan sepanjang tahun lepas.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata daerah ini mempunyai keluasan tanah pertanian yang digazetkan seluas 40,187.16 hektar dan antara tanaman yang diusahakan merupakan sayur-sayuran serta buah-buahan seperti kelapa, tembikai dan durian.
Beliau berkata Seremban juga merupakan antara daerah yang penting kepada penyumbang ekonomi negeri.
"Seremban terus menunjukkan perkembangan positif dalam industri asas tani dengan 91 usahawan aktif berjaya menjana nilai pengeluaran sebanyak RM12 juta dalam tempoh sama dan hampir 32,000 pelanggan mendapatkan khidmat nasihat daripada Pejabat Pertanian Daerah Seremban.
"Daripada jumlah itu, 25 usahawan berjaya memperoleh pensijilan halal, Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP) manakala beberapa syarikat menjadi contoh kejayaan usahawan tempatan," katanya ketika berucap pada majlis Agrofestival peringkat Seremban di sini hari ini.
Aminuddin berkata bagi tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan kepada tiga usahawan industri asas tani melibatkan RM27,550 bagi automasi pemprosesan produk, insentif pensijilan halal (RM10,000) serta naik taraf bengkel pemprosesan (RM34,399).
Beliau berkata inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing usahawan tempatan supaya mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
"Sektor pertanian perlu terus diperkasa sebagai industri moden, menguntungkan dan berteknologi tinggi bagi menarik minat lebih ramai golongan muda sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat, memperkukuh keterjaminan makanan selain membantu menstabilkan kos sara hidup.
Justeru, beliau menggesa masyarakat untuk terus menyokong produk tempatan kerana ia antara pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri selain memperkukuh pembangunan sektor pertanian.
Terdahulu, beliau berkata Agrofestival selama dua hari itu menyediakan pelbagai aktiviti termasuk pameran jabatan dan agensi, pemeriksaan kesihatan, taklimat pemakanan, kursus kemahiran, demonstrasi pertanian, program perpaduan serta jualan produk industri asas tani keluaran usahawan Seremban.
-- BERNAMA