Skip to main content

Politik

‘PH terpaksa sertai PRN Johor’ - Anwar

SEGAMAT, 5 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berucap pada Program Jelajah Harapan Felda sempena kempen Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16 di Dataran Kompleks Felda Palong Timur 2, hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, PRN Johor tidak sepatutnya diadakan ketika ini, namun BN tetap memilih untuk mengadakan pilihan raya kerana yakin mampu kembali menguasai pentadbiran negeri. -Gambar fail/Bernama

MUAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa PH terpaksa menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas Barisan Nasional (BN) bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang menurutnya antara lain didorong oleh usaha untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anwar berkata, PRN Johor tidak sepatutnya diadakan ketika ini, namun BN tetap memilih untuk mengadakan pilihan raya kerana yakin mampu kembali menguasai pentadbiran negeri.

“Dulu pilihan raya tak perlu sekarang, tetapi mereka paksa juga. Untuk apa? Sekarang kita sudah tahu sebab mereka rasa mereka cukup kuat untuk kembali berkuasa seperti dahulu, kemudian tentunya mahu membebaskan Datuk Seri Najib.

“Saya bersama rakan-rakan Pakatan Harapan diheret dan terpaksa masuk pilihan raya,” katanya ketika berucap pada ceramah mega PH di Serom, malam ini.

Anwar bagaimanapun menegaskan penyertaan PH dalam PRN Johor bukan semata-mata untuk bertanding, sebaliknya bagi memastikan kestabilan politik melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kestabilan itu penting bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan.

Dalam pada itu, Anwar turut mendakwa keputusan BN mengadakan PRN Johor mempunyai agenda yang lebih besar, iaitu untuk kembali menguasai pentadbiran negara.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai halangan sekiranya BN benar-benar menawarkan pentadbiran yang lebih baik dan bebas daripada amalan rasuah.

They want to control back the country. Tetapi untuk apa? Kalau mereka kata mahu membina sebuah negara yang lebih bersih, bebas rasuah, saya salute.

“Kalau mereka benar-benar mempunyai pasukan yang jauh lebih baik daripada PH, saya hormati. Tetapi berdasarkan apa yang saya kenal, tidak mungkin. Saya tidak boleh benarkan perkara itu berlaku,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement