Skip to main content

Politik

PRN Johor: RESET tiada arahan sokong parti, tetapi harus tolak PH - Saifuddin

gerakan RESET, Saifuddin, PRN Johor,
Datuk Seri Saifuddin Abdullah bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan RESET Johor, di Johor Bahru, pada Ahad. - Astro AWANI

JOHOR BAHRU: Gerakan RESET Malaysia tidak menetapkan sebarang parti politik untuk disokong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun menegaskan Pakatan Harapan (PH) harus ditolak oleh pengikut dan aktivis gerakan itu.

Wakil Pengasas Gerakan RESET Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, aktivis dan penyokong diberi kebebasan membuat pilihan berdasarkan pertimbangan sendiri dengan berpandukan nilai moral.

“Kita tidak menetapkan parti mana yang perlu disokong. Cuma yang pastinya bukan Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan RESET Johor, di sini, pada Ahad.

Saifuddin menyampaikan ucaptama dalam program itu mewakili Pengasas Gerakan RESET Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang tidak dapat hadir difahamkan atas faktor keuzuran.

Tambah Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, Gerakan RESET menyeru semua aktivisnya supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi selain membantu calon yang diyakini mempunyai kemampuan.

“Kami minta anggota aktivis Gerakan RESET ini untuk menjalankan tugas dan kewajiban mengundi di tempat masing-masing.

“Sekiranya ada kemampuan, ada calon-calon yang sesuai di hati mereka, maka bekerjalah untuk calon itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Gerakan RESET mengambil pendekatan untuk tidak mengeluarkan arahan rasmi menyokong mana-mana parti kerana terdapat kawasan yang menyaksikan pertandingan pelbagai parti.

“Ada lebih 50 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertindih-tindih, jadi pandai-pandailah.

“Nasihat kita ialah gunakan kompas moral iaitu amar makruf nahi mungkar.

"Tengok siapa dalam kalangan calon itu, daripada parti mana sekali pun, yang nampak selari dengan amar makruf nahi mungkar, pilihlah calon yang bersesuaian,” kata Saifuddin.

Beliau turut berpandangan rakyat Johor lebih memahami keutamaan sebenar dalam PRN kali ini yang menurutnya bukan semata-mata soal politik, sebaliknya usaha memastikan negeri itu terus ditadbir dengan baik.

“Kami percaya bangsa Johor lebih faham bahawa di sini isunya bukan politik sangat. Isunya ialah bagaimana ada pentadbiran negeri yang baik.

“Kalau sudah ada pentadbiran negeri yang baik dan kalau bangsa Johor merasakan itulah yang harus diteruskan, maka itu adalah pilihan bagi orang-orang di Johor. Pokoknya sekarang adalah tolak PH, itu yang nombor satu,” katanya.

Jelasnya lagi, mesej tersebut akan terus disampaikan kepada penyokong Gerakan RESET melalui pelbagai saluran sepanjang kempen PRN Johor.

Sebelum ini, Hamzah selaku Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN) mengesahkan tidak akan menyertai PRN Johor, sebaliknya memberi tumpuan kepada PRN Negeri Sembilan.

Menurutnya, keputusan itu mengambil kira kepentingan perpaduan dalam kalangan parti pembangkang, selain mahu mengelakkan pertembungan yang boleh memecahkan sokongan rakyat.

Must Watch Video

Advertisement