Skip to main content

Malaysia

Zaman 'budaya sakau' sudah berakhir, pemimpin mesti berintegriti tanpa kira kaum - PM

MUAR, 5 Julai -- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berucap pada program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan DUN Serom di Sungai Mati, malam, ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar berucap pada program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan DUN Serom di Sungai Mati, malam, ini. - Gambar Bernama

MUAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras bahawa zaman “budaya sakau” dan politik mengkayakan kroni sudah berakhir, sambil menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk melahirkan barisan kepimpinan yang bersih tanpa mengira latar belakang kaum.

Beliau berkata tumpuan utama kerajaan ketika ini ialah “membersihkan” sistem pentadbiran negara daripada amalan rasuah yang telah berakar umbi bagi memastikan setiap sen hasil bumi Malaysia dipulangkan sepenuhnya demi kebajikan rakyat.

Menyedari wujud perkauman sempit yang sengaja dimainkan pihak tertentu, Anwar mahu rakyat menilai pemimpin berdasarkan nilai integriti dan kejujuran, bukannya sekadar retorik politik yang bertujuan menutup penyelewengan masa lalu.

"Tanya saya, saya tak mahu pemimpin itu jadi pemimpin... saya nak Melayu yang baik, jujur, tak korup jadi pemimpin… saya nak Cina yang baik, tak korup jadi pemimpin," katanya ketika berucap pada program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan DUN Serom di Sungai Mati di sini malam ini. 

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, berkata budaya menggunakan kuasa untuk mengkayakan ahli keluarga dan kroni menerusi kontrak kerajaan perlu dihentikan serta-merta bagi membolehkan Malaysia terus melangkah maju serta dihormati di peringkat global.

"Bukan guna kuasa, masa inilah bagi anak saya kaya, bagi kontrak kepada bini saya... itu budaya dulu, budaya sakau... kerajaan mesti jaga dan hentikan perangai itu," katanya.

Beliau berkata tindakan pihak lawan yang sengaja mencetuskan desakan politik ketika ini adalah didorong oleh agenda peribadi untuk merebut kembali kuasa pemerintahan negara.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa tiada sesiapa pun akan dilindungi oleh kerajaan sekiranya didapati terlibat dalam sebarang salah laku rasuah sepanjang tempoh beliau menerajui negara.

Beliau turut menggesa rakyat, khususnya pengundi di Johor, supaya menggunakan hak mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini untuk menolak pemimpin yang tidak berintegriti demi menyelamatkan masa depan generasi akan datang.

Program di Sungai Mati ialah yang kelapan dihadiri Anwar hari ini dalam siri kempen PRN Johor sekali gus melengkapkan 15 jelajah beliau dalam tempoh dua hari di negeri berkenaan, yang menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini manakala undi awal pada 7 Julai. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement