KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 warga asing ditahan manakala barangan perniagaan milik 22 penjaja tanpa lesen disita dalam operasi bersepadu di sekitar Pasar Pudu, Jalan Yew di sini semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Facebook memaklumkan Operasi Bersepadu (Pasar) yang bermula pada 6 pagi itu dilaksanakan oleh pihaknya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan menyasarkan aktiviti perniagaan barangan basah, sayur-sayuran dan buah-buahan yang dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran serta melanggar syarat permit kerja.
“Hasil serbuan, tindakan sita dan pemindahan barangan perniagaan telah diambil terhadap 22 penjaja tanpa lesen melibatkan 13 warga asing dan sembilan warga tempatan kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen serta menghalang laluan di tempat awam.
“Pihak berkuasa turut mengeluarkan satu notis kompaun ke atas pemilik gerai tanpa kebenaran di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kesemua barangan yang disita termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, troli dan peralatan perniagaan lain dihantar ke Stor Sitaan DBKL untuk tujuan dokumentasi.
Dalam pada itu, JIM telah menjalankan pemeriksaan ke atas 62 individu melibatkan warganegara Bangladesh, Indonesia dan Myanmar dalam operasi berkenaan.
Daripada jumlah itu, 16 warga asing ditahan membabitkan 12 warga Indonesia, tiga warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar kerana dikesan berada di negara ini tanpa pas, permit atau dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA