Skip to main content

Malaysia

Dadah sintetik ancaman baharu isu penagihan dadah dan bahan - AADK

 dadah, AADK, Padang Besar. Kredit: AADK
AADK komited memperkukuh pendidikan pencegahan di semua peringkat termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, dan komuniti. - Foto AADK

KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyifatkan landskap ancaman dadah dalam kalangan generasi muda kini semakin kompleks dengan kemunculan pelbagai bahan psikoaktif baharu, penyalahgunaan bahan dan dadah sintetik.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainuddin Abdullah berkata, cabaran itu lebih membimbangkan apabila golongan muda mudah terdedah kepada pengaruh negatif melalui pelbagai platform termasuk tekanan rakan sebaya, serta gaya hidup tidak sihat. 

Ujarnya, perubahan drastik teknologi dan sosial turut menuntut strategi pencegahan yang lebih kreatif, inklusif, dan menyeluruh, berbanding hanya bergantung kepada kaedah tradisional.  

"Jika dahulu masyarakat lebih mengenali dadah tradisional seperti heroin dan ganja, kini kita berhadapan dengan ancaman dadah sintetik yang memberi kesan jauh lebih berbahaya kepada individu dan masyarakat.

“Oleh itu, AADK komited memperkukuhkan pendidikan pencegahan di semua peringkat termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, dan komuniti," katanya.  

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 di Dewan Sekolah Kebangsaan FELDA Mata Air, Padang Besar hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias, Ketua Penolong Pengarah (Hal Ehwal Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Mohamad Zuandy Sukery dan Pengarah AADK Negeri Perlis, Mohamad Zaki Farkhi Ahmad.

Dalam pada itu, Zainudin berkata, pendekatan AADK kini tidak lagi hanya tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan terhadap penagih semata-mata, sebaliknya memberi penekanan yang seimbang kepada aspek pendidikan, intervensi awal, dan sokongan ekosistem.

"Kejayaan sebenar dalam memerangi dadah bukanlah diukur pada berapa ramai individu yang berjaya dipulihkan, tetapi berapa ramai yang berjaya dicegah daripada terjebak dengan dadah sejak dari awal lagi," tegasnya.

Sementara itu, Zainudin turut menyeru institusi kekeluargaan untuk berfungsi sebagai 'barisan pertahanan pertama' dalam membentuk sahsiah anak-anak demi mengekang penularan gejala sosial ini.

Ujarnya, hubungan yang erat dan komunikasi berkesan dalam keluarga terbukti mampu menjadi benteng konkrit daripada pengaruh luar.  

“AADK juga mahu komuniti untuk mengubah stigma dan tidak lagi menganggap isu dadah sebagai masalah individu semata-mata.

“Justeru, komuniti diseru untuk menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa serta bersedia menerima dan membantu golongan yang sedang menjalani proses pemulihan untuk kembali produktif," katanya.

Must Watch Video

Advertisement