KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita berusia lingkungan 60-an yang disyaki terjatuh ke Sungai Pengkalan Datu berhampiran Kampung Wakaf Stan, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh Juhari Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kubang Kerian menerusi talian NG999 pada 8.52 pagi tadi sebelum sepasukan anggota digegaskan ke lokasi.
“Sebanyak sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan sebuah bot tiba di lokasi kejadian pada 9.17 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi menggunakan bot penyelamat dijalankan menerusi kaedah pencarian di permukaan air di sepanjang Sungai Pengkalan Datu.
Juhari berkata berdasarkan maklumat awal polis, wanita berkenaan yang juga penduduk Kampung Wakaf Stan dilaporkan hilang kira-kira seminggu lepas sebelum disyaki terjatuh dalam sungai.
“Mangsa dipercayai mengalami gangguan mental. Kali terakhir mangsa dilihat oleh seorang saksi ketika mangsa berada di tebing Sungai Pengkalan Datu.
"Motosikal milik mangsa ditemukan ditinggalkan di kawasan berkenaan,” katanya sambil menambah operasi SAR diteruskan dengan kerjasama polis serta agensi berkaitan.
-- BERNAMA