Skip to main content

Malaysia

BMW X5 terjatuh lombong di Batu Gajah, tiada mangsa ditemui

Sumber: JBPM PERAK
Menurut Sabarodzi, anggota bomba bersama pihak polis memeriksa keseluruhan kenderaan yang ditemui di dalam lombong dan mendapati tiada mangsa yang terperangkap dalamnya. - Foto JBPM Perak

IPOH: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5 terjatuh di dalam lombong, berhampiran Klinik Desa Kg. Sungai Terap, Batu Gajah malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11.01 malam.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati sebuah kenderaan berada di dalam lombong dan sebahagian dari bumbung saja yang terlihat di permukaan air serta dikhuatiri terdapat mangsa di dalamnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, ketua operasi dimaklumkan oleh pihak polis bahawa tiada sebarang laporan diterima berkaitan kejadian tersebut.

Katanya, ketua operasi melakukan size up dan mengarahkan anggota memakai jaket keselamatan (PFD) lengkap dan masuk ke dalam air.

Image
Sumber: A
Foto JBPM Perak

“Anggota membuat pemeriksaan di bahagian hadapan kenderaan dan mendapati tiada mangsa yang terperangkap.

“Pihak polis mendapatkan bantuan trak penunda dan kenderaan tersebut berjaya dikeluarkan sepenuhnya dari dalam lombong,” ujarnya.

Menurutnya, anggota bomba bersama pihak polis memeriksa keseluruhan kenderaan dan mendapati tiada mangsa yang terperangkap di dalamnya.

Katanya, kenderaan tersebut kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang melibatkan lima anggota bomba itu tamat jam 12.25 tengah malam.

 

Must Watch Video

Advertisement