Skip to main content

Malaysia

Berat Jaslinda susut 10 kg, mahu cepat sembuh hadiri konvokesyen anak

TAPAH, 8 Jun -- Keadaan Jaslinda Saludin, 49, ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi di Wad Perempuan Hospital Tapah hari ini.  Mohd Azlan berkata Jaslinda memaklumkan hasratnya untuk segera sembuh dan keluar dari hospital bagi kembali bekerja serta menghadiri majlis konvokesyen anaknya yang akan datang.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Keadaan Jaslinda Saludin ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi di Wad Perempuan Hospital Tapah hari ini. - Foto Bernama

TAPAH: Pendaki wanita Jaslinda Saludin mengalami penurunan berat badan hampir 10 kilogram (kg) setelah 14 hari dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih. 

Pengarah Hospital Tapah Dr Wan Immi Salim bagaimanapun berkata keadaan Jaslinda, 49, sangat stabil dan dapat makan serta berkomunikasi dengan sangat baik.

“Kakinya disimen akibat kecederaan dialami tetapi insya-Allah akan pulih dengan segera dengan pemulihan dan rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tapah, di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Wan Immi mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak Datuk A. Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi melawat Jaslinda di hospital itu.

Selain itu, beliau berkata pemeriksaan mendapati Jaslinda mangsa mengalami beberapa luka pada badan akibat berada dalam hutan untuk tempoh yang lama dan dijangka boleh dibenarkan pulang dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai keadaan emosi mangsa, Dr Wan Immi berkata Jaslinda menunjukkan semangat yang tinggi serta sikap yang positif sepanjang menerima rawatan dan ia merupakan faktor utama yang membantu mangsa dapat pulih dengan cepat.

Sementara itu, Mohd Azlan berkongsi Jaslinda ada memaklumkan mahu cepat sembuh dan keluar dari hospital kerana mahu bekerja semula dan menghadiri majlis konvokesyen anaknya nanti.

"Saya nampak walaupun ada kecederaan sikit pada kaki dia, tapi saya yakin dalam beberapa hari ini mungkin boleh keluar dan meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya.

Sabtu lepas, Jaslinda ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira 5 petang oleh beberapa penduduk Orang Asli.

Wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh bersama-sama 13 individu dan dua Malim Gunung Perhutanan.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement