ALOR SETAR: Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Mohd Jamil Md Idross, ditemui meninggal dunia selepas dipercayai lemas di Sungai Teluk Bagan di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa berusia 78 tahun itu merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor bagi penggal 1995 hingga 1999 serta 2004 hingga 2008, selain pernah menjawat jawatan Timbalan Speaker DUN Kedah ke-14 dari 2018 hingga 2023.
Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat awal daripada keluarga mangsa yang mengesyaki lelaki itu terjatuh ke dalam sungai pada awal pagi tadi.
“Ahli keluarga memaklumkan kali terakhir mangsa dilihat sekitar jam 11.30 malam semalam. Mereka kemudian menyedari mangsa tiada di rumah kira-kira jam 5 pagi.
“Pencarian awal membawa kepada penemuan selipar mangsa berhampiran Sungai Teluk Bagan, sekali gus menimbulkan syak mangsa terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya ditemui oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja pada jam 8.10 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi dipercayai beliau terjatuh.
Syed Basri berkata, mangsa baru keluar dari hospital kira-kira sebulan lalu dan mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk kencing manis dan darah tinggi, selain pernah menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.
“Mangsa tinggal bersama isteri dan dua anak perempuan berusia 29 dan 27 tahun di Taman Bagan Indah, Jalan Tandop, di sini,” katanya.
Siasatan awal mendapati mangsa mempunyai rutin harian memindahkan kenderaannya dari dalam kawasan rumah ke kawasan luar berhampiran sungai di sebelah kediamannya.
Polis turut menemui sebuah kereta Perodua Kancil berwarna putih yang dipercayai telah dialihkan mangsa berhampiran lokasi kejadian, selain sepasang selipar yang disahkan miliknya.
Menurut Syed Basri, pegawai penyiasat kanan serta pegawai siasatan jenayah turut berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian,” katanya.