Skip to main content

Malaysia

Audit berkala menerusi 'indeks keselamatan sekolah' bantu pastikan keselamatan - Anuar

Felo Bersekutu MINDA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad,_Astro AWANI
Anuar memberi penegasan pelaksanaan audit secara berkala menerusi indeks keselamatan sekolah dapat membantu memastikan persekitaran sekolah kekal selamat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan audit secara berkala menerusi indeks keselamatan sekolah dapat membantu memastikan persekitaran sekolah kekal selamat selain mengenal pasti institusi yang memerlukan perhatian serta penambahbaikan segera.

Felo Bersekutu Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berkata, indeks keselamatan sekolah boleh dijadikan mekanisme pemantauan yang lebih sistematik dan berterusan bagi menilai tahap keselamatan serta kesejahteraan warga sekolah.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan pihak berkaitan menjalankan penilaian secara berkala terhadap aspek keselamatan, kebajikan dan keadaan persekitaran sekolah.

“Saya pernah mencadangkan supaya kita mempunyai apa yang saya sebut sebagai indeks keselamatan sekolah, di mana isu keselamatan menjadi salah satu komponen utama yang dinilai.

“Melalui pendekatan ini, akan ada pasukan yang datang secara berkala ke sekolah untuk memastikan persekitaran, keselamatan dan kebajikan sekolah berada dalam keadaan baik menerusi audit yang dilaksanakan secara konsisten,” katanya ketika di temu bual di Astro AWANI pada Selasa.

Menurut beliau, indeks tersebut penting memandangkan keadaan setiap sekolah berbeza dari segi infrastruktur, kepadatan murid, jumlah guru serta kemudahan yang tersedia.

Katanya, hasil penilaian itu akan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti sekolah yang memerlukan perhatian lebih khusus termasuk dari segi keselamatan, disiplin dan kebajikan murid.

“Dengan adanya indeks ini, kita dapat mengetahui sekolah yang memerlukan perhatian lebih untuk diberikan penambahbaikan dan pembaikan.

“Kita juga mempunyai data yang boleh membantu mengenal pasti sekolah yang berdepan isu tertentu termasuk aspek disiplin dan keselamatan, sekali gus membolehkan tindakan lebih bersasar diambil,” katanya.

Mengulas lanjut, Anuar berkata indeks keselamatan sekolah bukan sahaja berperanan mengukur tahap pematuhan terhadap prosedur keselamatan, malah membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid.

Beliau berkata, tumpuan terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan perlu bergerak seiring bagi memastikan murid dapat mengikuti proses pembelajaran dalam suasana yang selamat, selesa dan positif.

“Dengan cara ini, usaha untuk meningkatkan keselamatan, kesejahteraan dan kegembiraan murid di sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih berfokus dan berkesan,” katanya.

Jelasnya terdapat sekolah yang mempunyai jumlah murid yang ramai sehingga mencecah ribuan orang, sekali gus menjadikan aspek pemantauan dan pengurusan keselamatan lebih mencabar.

Menurutnya, selain faktor kemudahan fizikal, terdapat juga sekolah yang masih berdepan kekurangan tenaga pengajar dan sumber manusia yang boleh membantu memantau aspek keselamatan secara lebih menyeluruh.

“Kadang-kadang kita mempunyai sekolah yang bilangan muridnya mencecah ribuan orang dan sudah tentu tidak mudah untuk menguruskan kumpulan murid yang begitu ramai dalam satu kawasan sekolah yang padat.

“Ada juga sekolah yang berdepan kekurangan guru dan sumber manusia. Sebab itu aspek keselamatan memerlukan perhatian khusus serta petugas yang diberi tanggungjawab untuk memantau perkara tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa usaha memastikan keselamatan murid tidak boleh dipikul oleh pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara guru, pentadbir dan ibu bapa.

Katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan sentiasa memberi peringatan dan nasihat kepada anak-anak mengenai disiplin, tingkah laku serta kepentingan menghormati warga sekolah.

“Saya percaya walau seramai mana pegawai atau petugas yang ditempatkan di sekolah, kerjasama antara ibu bapa, guru dan pihak pentadbiran sekolah tetap menjadi faktor paling penting.

“Ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak supaya menjaga disiplin, tidak terlibat dalam perbuatan buli dan menghormati peraturan sekolah. Jika peranan ini dimainkan bersama, keselamatan murid dapat diperkukuhkan dengan lebih berkesan,” katanya.

Anuar berkata, pemahaman dan komitmen semua pihak terhadap garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga penting bagi memastikan sekolah terus menjadi persekitaran yang selamat dan kondusif untuk pembelajaran.

Must Watch Video

Advertisement