Skip to main content

Malaysia

Kerajaan lulus peruntukan tambahan RM150 juta percepat projek perumahan generasi baharu Felda

Anwar Ibrahim, Hari Felda. Kredit. tangkap layar video RTM
Perdana Menteri berkata projek PGBF yang bermula pada 2013 melibatkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,224 unit rumah di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak.

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta bagi mempercepat pelaksanaan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), termasuk menyiapkan projek yang tertangguh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kelulusan itu membuktikan komitmen kerajaan bukan sekadar mengumumkan dasar, sebaliknya memastikan projek yang memberi manfaat kepada generasi baharu Felda dapat dilaksanakan dengan segera.

"Dengan ini, bagi menyiapkan projek perumahan Generasi Baharu Felda, saya luluskan segera peruntukan tambahan RM150 juta. Hari ini saya tidak mahu umum dasar, saya mahu umum projek yang berjalan, bahawa kerajaan ini melaksanakan janji," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, di Maran, pada Selasa.

Perdana Menteri berkata projek PGBF yang bermula pada 2013 melibatkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,224 unit rumah di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak.

Anwar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,458 unit di 12 tapak atau 29.8 peratus telah siap dan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), manakala 2,546 unit di 13 tapak lagi sedang dalam pembinaan.

Menurut beliau, beberapa projek disasarkan siap secara berfasa sepanjang tahun ini, antaranya di Bersai, Perak (102 unit), Sungai Koyan, Pahang (68 unit) dan Pasoh, Negeri Sembilan (70 unit).

Katanya, projek lain yang akan diteruskan termasuk di Sungai Koyan, Pahang (89 unit), Maokil, Johor (540 unit), Bukit Jalor, Negeri Sembilan (239 unit), Sungai Tekam, Pahang (100 unit) dan Papan Timur, Johor (539 unit), diikuti projek di Kerteh, Terengganu (110 unit).

Perdana Menteri turut mengarahkan pihak pengurusan Felda meneliti kelewatan pelaksanaan projek dan mengemukakan laporan lengkap dalam tempoh dua bulan bagi mengenal pasti punca serta langkah penyelesaian.

Selain itu, beliau mengumumkan kerajaan memberi kelulusan serta-merta bagi membolehkan kira-kira 8,000 unit rumah yang telah siap dibina menikmati sambungan utiliti asas seperti bekalan elektrik dan air.

Beliau berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diarahkan mempercepat pemasangan bekalan elektrik ke semua unit terbabit, manakala kerajaan negeri akan menyelaras penyediaan bekalan air.

Must Watch Video

Advertisement