KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk mengembalikan model asal penjualan minyak sawit mentah seperti yang diamalkan sebelum penyenaraian FGV Holdings Berhad (FGV).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu bagi meningkatkan keuntungan kilang sawit dan memberi pulangan lebih baik kepada warga Felda.
Beliau berkata perubahan model penjualan minyak sawit mentah selepas penyenaraian FGV telah menyebabkan keuntungan kilang sawit merudum sehingga menjejaskan 28 peratus ekuiti milik Koperasi Permodalan Felda (KPF).
"Bagi menoktahkan kegelisahan ini, kerajaan membuat keputusan untuk kembali kepada model asal penjualan minyak sawit mentah sebelum penyenaraian FGV.
"Keputusan ini akan menjamin harga dan keuntungan yang lebih baik, sekali gus memberi manfaat tambahan pendapatan dan keuntungan sebanyak RM42 juta kepada seluruh warga Felda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, Maran hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.