ALOR SETAR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya, susulan penyebaran mesej tular di media sosial yang mendakwa terdapat beberapa bot cuba menyeludup masuk pendatang tanpa izin etnik Rohingya melalui pesisir pantai Kuala Muda, Kuala Kedah, Yan dan Pulau Pinang hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata pihaknya memandang serius setiap maklumat yang diterima berkaitan ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Beliau berkata penyebaran maklumat yang tidak tepat bukan sahaja boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah berpotensi mengganggu usaha pemantauan, risikan dan penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
“Setiap maklumat yang diterima akan dinilai, disemak dan disahkan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil. Orang ramai diminta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak menyebarkan dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Romli berkata APMM sentiasa mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan operasi menerusi rondaan berterusan, pemantauan berasaskan risikan serta kerjasama strategik dengan agensi keselamatan lain bagi membanteras sebarang cubaan pencerobohan atau kemasukan pendatang tanpa izin menerusi laluan laut.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan dan kedaulatan perairan negara, selain memastikan setiap maklumat risikan disusuli tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya bagi menjamin sempadan maritim negara sentiasa terkawal dan selamat.
Pada masa sama, Romli menyeru masyarakat pesisir pantai, komuniti nelayan dan pengguna laut agar terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut atau kawasan pesisir.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan, sebaliknya menyerahkan sebarang tindakan penguatkuasaan kepada pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa.
Menurut Romli, maklumat mengenai aktiviti mencurigakan hendaklah disalurkan segera melalui saluran rasmi APMM atau agensi keselamatan berkaitan bagi membolehkan tindakan pengesahan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan cepat, berkesan dan selamat.
-- BERNAMA