Skip to main content

Malaysia

Anak sulung Karam Singh Walia meninggal dunia, 38 hari selepas pemergian bapa

Sumber: Politeknik Port Dickson
Sharonjit Kaur Walia yang juga Pensyarah Kanan Bahasa Inggeris di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Port Dickson dan disifatkan sebagai seorang pendidik berdedikasi yang banyak menyentuh kehidupan pelajar.

KUALA LUMPUR: Belum reda kesedihan atas pemergian wartawan penyiaran terkenal, Datuk Karam Singh Walia, keluarganya sekali lagi diuji apabila anak sulung mendiang dilaporkan meninggal dunia pada Rabu.

Mendiang Sharonjit Kaur Walia, 44, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 38 hari selepas bapanya meninggal dunia akibat barah hati pada 6 April lalu. 

Suami mendiang, Kashminder Singh Sandhu berkata, isterinya meninggal dunia dalam tidur di kediaman mereka di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan sekitar jam 8.15 pagi.

“Beliau meninggal dunia dalam tidur dan sebelum ini tidak mengalami sebarang masalah kesihatan,” katanya memetik laporan Bernama.

Menurut beliau, mendiang merupakan Pensyarah Kanan Bahasa Inggeris di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Port Dickson dan disifatkan sebagai seorang pendidik berdedikasi yang banyak menyentuh kehidupan pelajar.

“Beliau bukan sahaja mendidik, malah menjadi inspirasi kepada pelajar, sekali gus meninggalkan legasi yang akan terus hidup dalam diri mereka yang pernah dibimbing,” katanya lagi.

Pasangan itu dikurniakan dua orang anak berusia 10 dan enam tahun. Sementara itu, berita pemergian mendiang turut dikongsikan Politeknik Port Dickson menerusi media sosial institusi berkenaan yang menyifatkan kehilangan itu sebagai satu kehilangan besar kepada warga kampus.

“Seluruh warga institusi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangan yang amat perit ini. Jasa, dedikasi dan kenangan bersama beliau akan sentiasa terpahat dalam ingatan,” menurut kenyataan tersebut. 

 

Must Watch Video