Skip to main content

Malaysia

Ambil kira T20 bayar cukai tinggi, tekanan kewangan sebelum tarik subsidi - Penganalisis

budi, budi95
Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menarik subsidi minyak terhadap golongan berpendapatan tinggi, termasuk kumpulan T15 dan T20. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil kira sumbangan kumpulan T20 yang membayar kadar cukai yang tinggi dan tekanan kewangan yang dirasai oleh isi rumah berkenaan sebelum membuat keputusan untuk menarik subsidi bagi golongan tersebut.  

Pakar Ekonomi Universiti Kuala Lumpur Business School, Prof. Madya Mejar Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata tindakan menarik subsidi daripada kumpulan pembayar cukai yang tinggi boleh menjejaskan penciptaan kekayaan dalam negara.

“T20 banyak membayar cukai. Percukaian terhadap T20, T5 dan T1 ini agak tinggi. Golongan T20 juga ada tekanan kewangan. Banyak pendapatan T1 dan T5 yang diambil oleh kerajaan kerana pendapatan mereka yang tinggi.  

“Saya selalu kata kerajaan ambil wang daripada mereka tetapi apa yang ditimbal balas yang diberikan. Kalau kita berusaha jadi kaya dan naikkan ekonomi, tiba-tiba kerajaan cukai kita. Rasa hilang motivasi dan kita tidak mahu kayakan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Ambil kira T20 bayar cukai tinggi, tekanan kewangan sebelum tarik subsidi - Penganalisis

Selain itu, Mohd Harridan menambah jika ada keperluan untuk menarik subsidi daripada kalangan T20, ia perlu dilakukan secara berperingkat dan bukannya menarik balik keistimewaan itu secara keseluruhan serta-merta.

"Jika dilakukan secara mendadak, seperti yang berlaku Eropah apabila penarikan subsidi pertanian dibuat secara sekali gus, ekonomi negara merudum. Kalau kita hendak tarik balik subsidi, perlu ikut jadual tertentu. Jangan tarik pada kadar yang terlalu tinggi. Apabila ini terjadi ekonomi akan merudum dan inflasi akan meningkat,” ujarnya lagi.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menarik subsidi minyak terhadap golongan berpendapatan tinggi, termasuk kumpulan T15 dan T20.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, kertas cadangan berkaitan perkara itu telah dibentangkan beberapa bulan lalu oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican, dan kini berada di peringkat akhir penelitian. 

 

Agenda AWANI: Krisis bekalan global | Apa alternative selain subsidi petrol?

Must Watch Video