STEVE CLARKE secara rasmi meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Scotland selepas pasukannya gagal melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Dunia 2026.
Pengendali berusia 62 tahun itu menamatkan khidmatnya selepas tujuh tahun menerajui Scotland, sekali gus mengakhiri era yang menyaksikan kebangkitan semula pasukan di pentas antarabangsa.
Scotland menamatkan saingan Kumpulan C di tempat ketiga di belakang Brazil dan Maghribi. Walaupun memulakan kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Haiti, kekalahan kepada Maghribi dan Brazil menyebabkan mereka tersingkir daripada kejohanan dengan perbezaan jaringan -3.
Sepanjang tempoh kendaliannya, Clarke mencipta sejarah apabila membawa Scotland layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun, selain memastikan pasukan itu beraksi dalam dua kejohanan UEFA Euro berturut-turut.
Dalam surat terbuka kepada penyokong, Clarke meluahkan penghargaan kepada para pemain yang disifatkannya sebagai tonggak utama setiap kejayaan yang dikecapi sejak beliau mengambil alih pasukan pada 2019.
Ketua Eksekutif Persatuan Bola Sepak Scotland (Scottish FA), Ian Maxwell, pula menyifatkan Clarke sebagai individu yang berjaya mengubah landskap bola sepak Scotland.
"Walaupun kami kecewa tersingkir di peringkat kumpulan, kami tidak boleh melupakan kemajuan besar yang dicapai sepanjang tujuh tahun beliau mengendalikan pasukan. Daripada pasukan pilihan keempat kepada juara kumpulan kelayakan Piala Dunia, beliau telah memenuhi sasaran untuk membawa Scotland kembali ke pentas kejohanan utama."
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ribuan penyokong Scotland yang hadir ke Amerika Syarikat bagi memberikan sokongan sepanjang kempen Piala Dunia, sambil menyifatkan mereka sebagai duta terbaik negara dan bola sepak Scotland.