Skip to main content

Malaysia

Amalan 'ali baba' dalam industri pelancongan ancam ekonomi, imej Sabah

71638005407_Semporna.jpg
Industri pelancongan menyumbang kira-kira 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah. - Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Tindakan membenarkan pengusaha pelancongan asing menggunakan penama tempatan bagi menjalankan perniagaan boleh mencemarkan imej Sabah serta memberi kesan domino kepada ekonomi dan mata pencarian rakyat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata amalan ali baba itu dikenal pasti antara masalah utama dalam industri pelancongan di Semporna, dengan modal serta operasi sebenar dipercayai dikendalikan warga asing.

Beliau berkata industri pelancongan menyumbang kira-kira 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah dan melibatkan kira-kira 380,000 individu dalam pelbagai bidang.

“Saya memang optimistik isu ini dapat kita selesaikan dengan sebaiknya, berikan sedikit masa lagi untuk kita pastikan segalanya dapat kita susun atur berdasarkan undang-undang,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.

Bernama pada 7 April lepas dalam rencana bertajuk Semporna: An Illusion of Paradise mengetengahkan isu pemilikan warga asing di Semporna yang menggunakan penama tempatan untuk perniagaan pelancongan mereka yang seterusnya mengancam ekonomi rakyat tempatan.

Jafry berkata operasi berkenaan dipercayai melibatkan keseluruhan rantaian industri pelancongan termasuk perkhidmatan resort, penginapan, bot, van serta pengangkutan pelancong.

Kerajaan negeri turut menyiasat dakwaan bahawa sebahagian transaksi pakej pelancongan dilakukan sepenuhnya di luar negara, menyebabkan hasil daripada aktiviti itu tidak memasuki sistem kewangan Malaysia dan tidak memberikan manfaat kepada ekonomi Sabah.

Isu berkenaan dibangkitkan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada DUN Sabah 20 Julai lepas yang mendakwa ratusan pengusaha warga China menjalankan perniagaan pelancongan di resort sekitar Semporna.

Menjawab perkara itu, Jafry berkata sebuah jawatankuasa bersepadu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi telah ditubuhkan pada Januari lepas bagi mengenal pasti punca masalah, mengumpulkan bukti serta merangka penyelesaian menyeluruh.

Beliau berkata siasatan perlu dilakukan secara berhati-hati kerana isu berkenaan merentasi bidang kuasa pelbagai agensi merangkumi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Antara perkara yang sedang diteliti oleh pihak jawatankuasa ialah kemampuan sebenar individu tempatan yang dinamakan sebagai pemilik resort atau perniagaan bernilai jutaan ringgit.

Jafry berkata terdapat penduduk tempatan dipercayai membenarkan nama mereka digunakan pengusaha asing dengan bayaran rendah, namun jumlah sebenar individu dan premis terlibat masih dalam siasatan.

Beliau memaklumkan jawatankuasa setakat ini mengenal pasti kira-kira 198 pengusaha pelancongan yang beroperasi di Semporna, namun hanya sekitar 80 mempunyai lesen serta kelulusan sah daripada agensi berkaitan.

Pengusaha lain berdepan pelbagai isu pematuhan seperti dibina di atas tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL) perikanan sehingga gagal memperoleh kelulusan PBT dan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Beliau berkata usaha menyelesaikan masalah operasi ali baba telah dibangkitkannya sejak 2022 dan kini dijadikan keutamaan untuk diselesaikan secara menyeluruh.

Usaha menyusun semula industri pelancongan itu juga dijangka diperluas ke destinasi tumpuan lain di Sabah seperti Kundasang, Sandakan serta Tawau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan penguasaan pengusaha asing dalam rantaian pelancongan di daerah itu sebagai serius kerana boleh menjejaskan peluang ekonomi penduduk tempatan.

Beliau berkata kebimbangannya adalah untuk memastikan hasil pelancongan, peluang pekerjaan dan peluang perniagaan turut dinikmati rakyat tempatan secara adil.

“Terdapat pengusaha asing menguasai pelbagai bahagian dalam rantaian perniagaan termasuk resort, pengangkutan, restoran dan urusan pembayaran.

Shafie turut membangkitkan penggunaan sistem pembayaran global yang didakwa membolehkan transaksi dilakukan di luar negara, sekali gus menimbulkan persoalan keberadaan hasil aktiviti pelancongan dalam ekonomi tempatan.

Beliau berkata keadaan berkenaan memberi kesan gandaan negatif terhadap ekonomi dan menggesa kerajaan segera memanggil pengusaha terbabit untuk mencari penyelesaian.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan proses pemutihan dilaksanakan dengan menggalakkan pengusaha asing membentuk usaha sama dengan pengusaha tempatan atau bergabung dengan perniagaan sedia ada.

“Kita tidak mahu mengambil tindakan yang akhirnya menjejaskan kedatangan pelancong China, tetapi pada masa sama pengusaha asing tidak boleh menguasai keseluruhan rantaian perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement