Skip to main content

Malaysia

“Aku Berjanji” nyanyian Faizal Tahir lagu tema sambutan HKHM2026

IPOH, 19 Julai -- Penyanyi Faizal Tahir membuat persembahan lagu berjudul “Aku Berjanji” ciptaan dan nyanyiannya yang dipilih sebagai lagu tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) Tanjung Rambutan, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Penyanyi Faizal Tahir membuat persembahan lagu berjudul “Aku Berjanji” ciptaan dan nyanyiannya yang dipilih sebagai lagu tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026. - Foto Bernama

IPOH: Lagu berjudul “Aku Berjanji” ciptaan dan nyanyian Faizal Tahir dipilih sebagai lagu tema patriotik Bulan Kebangsaan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Lagu tersebut diperdengarkan buat julung kali kepada orang ramai pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 yang berlangsung di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Faizal berkata lagu tersebut membawa mesej kebersamaan, perpaduan dan semangat cintakan negara dalam usaha mempertahankan kedaulatan tanah air. 

“Alhamdulillah, lagu ciptaan saya dan pasukan digunakan sebagai lagu tema kebangsaan pada tahun ini. Ia satu penghormatan buat saya yang sudah hampir 20 tahun dalam industri ini untuk dapat menyumbang sesuatu.

“Semoga lagu ini membangkitkan semangat rakyat Malaysia dan menyatukan kita melalui seni muzik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Beliau berkata proses pembikinan lagu berdurasi dua minit 29 saat itu mengambil masa kira-kira sebulan, manakala idea menghasilkan karya bertemakan semangat kebangsaan mula digarap sekitar Mei lepas.

Faizal mula mencipta nama selepas muncul naib juara program realiti One in a Million pada 2006 dan pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) 2008 kategori Balada menerusi lagu berjudul “Sampai Syurga”.

Lagu “Aku Berjanji” boleh dimuat turun oleh orang ramai melalui portal Merdeka360 bermula 12.30 tengah hari ini.

 

Lirik lagu Aku Berjanji

 

Aku berjanji

Dan ku bersumpah setia

Demi tuhan dan negara 

Akan ku korbankan jiwa  

Aku berjanji

Akan satukan semua

Kita pertahan bersama

Tanah air yang tercinta

 

Korus: 

Semangat waja 

Kan ku pertaruhkan nyawa

Demi sejahtera semua

Negaraku yang merdeka

 

Terus melangkah

Tetap terpahat di dada

Kita sejahtera bersama

Malaysia

 

Aku berjanji

Kepada ibu pertiwi

Kekal perpaduan ini

Teras semangat MADANI

 

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement