KUALA LUMPUR: Dalam landskap industri kreatif yang semakin dipacu teknologi digital, pembangunan bakat berkemahiran tinggi menjadi antara keutamaan bagi memastikan sektor itu terus kekal berdaya saing.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata inisiatif seperti Akademi Dalam Industri (ADI) memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan semasa industri media, penyiaran dan kandungan kreatif.
Menurut beliau, industri kini memerlukan lebih ramai bakat yang bukan sahaja kreatif, malah menguasai kemahiran teknikal serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi dan transformasi digital yang semakin mempengaruhi sektor kreatif.
“ADI berfungsi sebagai jambatan antara pendidikan dan industri bagi memastikan bakat memperoleh kemahiran yang memenuhi keperluan industri,” katanya dalam wawancara bersama program Agenda AWANI pada Selasa.
Beliau berkata, pendekatan peningkatan kemahiran yang menekankan pengalaman praktikal membolehkan peserta memahami keperluan sebenar industri.
Tambahnya, kerjasama strategik antara institusi latihan dan pemain industri penting bagi memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai standard profesional, teknologi terkini, serta kehendak pasaran pekerjaan yang sentiasa berubah.
“Industri kreatif memerlukan tenaga kerja yang mampu bergerak seiring dengan perubahan teknologi serta kehendak pasaran yang sentiasa berkembang,” ujarnya.
Menurut Sim, pembangunan bakat yang selari dengan keperluan industri akan menjadi faktor penting dalam memastikan sektor kreatif negara terus berkembang, khususnya ketika penggunaan teknologi digital dan AI semakin meluas dalam penghasilan kandungan media dan penyiaran.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab industri kreatif serantau, namun ia memerlukan ekosistem pembangunan bakat yang mampan serta kerjasama erat antara institusi pendidikan, akademi latihan, dan pemain industri.
Dalam masa sama, usaha memperkukuh pembangunan modal insan dilihat mampu membantu mengurangkan jurang kemahiran, sekali gus menyediakan lebih ramai tenaga kerja tempatan yang bersedia memenuhi permintaan industri pada masa hadapan.
Beliau menegaskan bahawa pelaburan dalam pembangunan bakat bukan sahaja memberi manfaat kepada industri kreatif, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Sehubungan itu, ADI optimis pendekatan latihan berteraskan industri mampu melahirkan lebih ramai profesional tempatan yang bersedia menghadapi cabaran era digital serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem kreatif negara yang lebih mampan dan kompetitif.