BERLIN: Sebuah suruhanjaya pakar mencadangkan larangan penggunaan telefon bimbit untuk tujuan peribadi di sekolah seluruh Jerman semasa waktu pembelajaran dan rehat bagi semua murid sehingga gred tujuh, atau berusia antara 12 hingga 13 tahun, menurut cadangan yang diterbitkan panel itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Cadangan itu dikemukakan oleh suruhanjaya pakar mengenai "Perlindungan Kanak-Kanak dan Belia dalam Dunia Digital", yang menyatakan larangan itu perlu dimaktubkan secara seragam dalam semua undang-undang sekolah di seluruh negara.
Bagi murid gred lapan dan ke atas, sekolah diwajibkan membangunkan garis panduan penggunaan yang mengikat bersama-sama murid, menurut suruhanjaya itu pada Rabu.
Laporan suruhanjaya pakar yang dilantik oleh Menteri Keluarga Karin Prien, menyatakan penggunaan peranti digital untuk tujuan peribadi di dalam kelas merupakan gangguan besar, menyukarkan persekitaran pembelajaran serta mengehadkan interaksi sosial semasa waktu rehat.
Menurut suruhanjaya itu, penggunaan telefon bimbit juga boleh memburukkan lagi masalah buli sekiranya ia sudah wujud. Ia turut menyatakan bahawa peraturan sedia ada berbeza dengan ketara antara negeri persekutuan dan jenis sekolah.
Suruhanjaya itu menjangkakan bahawa jika langkah yang dicadangkan dilaksanakan, murid akan dapat belajar dengan lebih fokus. Selain itu, mereka juga akan mempunyai lebih banyak masa dan ruang untuk berinteraksi secara bersemuka semasa waktu rehat.
Akses kepada alat pembelajaran digital bagaimanapun akan terus dikekalkan, menurut suruhanjaya itu.
Prien melantik suruhanjaya berkenaan pada September lepas. Pakar kini merangka sebanyak 56 cadangan bagi membolehkan kanak-kanak dan golongan muda memanfaatkan media digital sambil melindungi mereka daripada risikonya.
-- BERNAMA-dpa