Skip to main content

Malaysia

15 petugas ERL selesai tugasan di Makkah Metro semasa musim haji 2026

PUTRAJAYA, 19 April -- Timbalan Pengurus Operasi Makkah Metro Putera Wan Jaffri Abdul Hamid (belakang, enam, kiri) bergambar bersama 19 lagi petugas Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) yang akan bertugas di Makkah pada majlis penghantaran kakitangan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) ke Makkah di Stesen KLIA Transit Putrajaya hari ini.  Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.  Seramai 20 petugas berpengalaman ERL dihantar ke Arab Saudi bagi menyokong opera
Kejayaan menyelesaikan tugasan itu mencerminkan kepakaran operasi ERL dan komitmen untuk memberikan perkhidmatan rel bertaraf dunia di luar sempadan Malaysia. Foto ini ketika majlis penghantaran kakitangan ke Makkah, di Stesen KLIA Transit Putrajaya pada 19 April lalu. - Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 petugas Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan anak syarikatnya ERL Maintenance Support Sdn Bhd (E-MAS) telah menyelesaikan tugasan di Arab Saudi untuk menyokong operasi Makkah Metro pada musim haji 2026.

ERL dalam kenyataan memaklumkan tugasan bagi tahun ke-14 itu menyediakan sokongan operasi kepada Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro, atau lebih dikenali sebagai Makkah Metro, dengan kerjasama China Railway Construction Corporation Limited (CRCC) Saudi sejak 2012.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL Datin Noormah Mohd Noor berkata kejayaan menyelesaikan tugasan itu mencerminkan kepakaran operasi ERL dan komitmen untuk memberikan perkhidmatan rel bertaraf dunia di luar sempadan Malaysia, khususnya dalam menyokong pergerakan berjuta-juta jemaah haji yang selamat dan cekap sepanjang tempoh ibadah itu.

“Kami berbesar hati kerana sekali lagi mendapat kepercayaan CRCC Saudi, setelah dianugerahkan kontrak selama lima tahun untuk menyokong operasi Makkah Metro hingga 2030. Kejayaan menyiapkan tugas untuk tahun ini mengukuhkan reputasi ERL untuk kecemerlangan operasi dan kebolehpercayaan di pentas antarabangsa.

“Walaupun persekitaran operasi mencabar dan keperluan keselamatan yang ketat, petugas kami menunjukkan profesionalisme, dedikasi dan kecekapan yang luar biasa sepanjang berkhidmat. Sumbangan mereka membantu memastikan kelancaran operasi dan mengekalkan standard tinggi yang diharapkan daripada petugas ERL,” katanya dalam kenyataan itu.

Di bawah kontrak berkenaan, petugas ERL dan E-MAS berkhidmat dalam pelbagai peranan operasi termasuk sebagai timbalan pengurus stesen, ketua stesen, penolong ketua stesen dan ejen bilik kawalan stesen selama kira-kira dua bulan.

ERL memaklumkan lebih 7,000 petugas diperlukan setiap tahun untuk mengendalikan operasi sistem rel dan mengurus sembilan stesen semasa musim haji yang meliputi pengurusan stesen, platform dan operasi di ruang menunggu, Pusat Kawalan Operasi dan perkhidmatan tren.

Sistem laluan kereta api Makkah Metro sepanjang 18 kilometer itu menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina. 

Beroperasi secara eksklusif selama tujuh hari semasa tempoh haji, kereta api itu memainkan peranan penting dalam menyediakan pengangkutan kepada berjuta-juta jemaah di lokasi berkenaan semasa waktu kemuncak haji.

Kepulangan 15 petugas itu disambut oleh pihak pengurusan ERL dan E-MAS serta ahli keluarga mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada awal bulan ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement