Skip to main content

Malaysia

AI pemangkin atau ancaman? INVENTX Creative 2026 buka ruang perbahasan

Dr Vimala kredit MMU
Vimala Perumal berkata, pameran itu yang dimulakan pada 2023 dengan penyertaan hanya lapan ahli akademik MMU kini berkembang menjadi platform penyelidikan kreatif bertaraf antarabangsa. - Gambar MMU

KUALA LUMPUR: Mampukah kecerdasan buatan (AI) memperluaskan sempadan kreativiti manusia atau sebaliknya menghakis nilai keaslian dalam penghasilan karya seni?

Persoalan itu menjadi teras Pameran Kreatif Antarabangsa INVENTX (INVENTX Creative Exhibition) 2026 anjuran Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia (MMU), yang berlangsung di universiti itu selama sebulan bermula Khamis ini.

Memasuki edisi keempat penganjurannya, pameran bertemakan TAP-AI: Extension or Extinction? Crossing Boundaries, Opening Up Possibilities itu bakal menampilkan 114 karya terpilih daripada 153 penyertaan yang diterima dari seluruh dunia.

Menurut Pengarah Pameran Kreatif Antarabangsa INVENTX, Vimala Perumal, pameran itu menghimpunkan artis, penyelidik, pendidik, pereka, jurugambar, pembikin filem dan pengamal industri kreatif dari 24 negara serta wilayah merentasi lima benua dan lapan rantau dunia, sekali gus menjadikannya edisi paling pelbagai dari segi penyertaan antarabangsa sejak diperkenalkan tiga tahun lalu. 

Kata beliau, selain Malaysia antara negara yang mengambil bahagian adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, China, Korea Selatan, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Kanada, Indonesia, Vietnam, Turkiye, Mesir, Argentina dan Palestin.

"AI sedang mengubah cara manusia berkarya, berkomunikasi dan berinovasi, namun teknologi itu bukanlah sumber kepada kreativiti, sebaliknya sekadar alat yang dipandu imaginasi manusia.

"Sejarah menyaksikan, artis sentiasa menerima medium baharu untuk menyampaikan cerita yang memberi makna kepada masyarakat. 

"AI tidak terkecuali. Masa depan kreativiti bukan akan ditentukan oleh mesin, tetapi bagaimana manusia memilih untuk menggunakannya secara bertanggungjawab, beretika dan kreatif," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut Vimala berkata, pameran itu dimulakan pada 2023 dengan penyertaan hanya lapan ahli akademik MMU kini berkembang menjadi platform penyelidikan kreatif bertaraf antarabangsa yang mengiktiraf amalan kreatif sebagai satu bentuk penjanaan ilmu dan penyelidikan. 

Katanya, karya yang dipamerkan bukan sahaja mempunyai nilai seni, malah semakin berkembang menjadi penerbitan jurnal, pembentangan persidangan, bahan pengajaran, produksi kreatif, program libat urus komuniti serta kerjasama antara disiplin. 

"Pameran ini turut mengangkat amalan kreatif sebagai Non-Traditional Research Output (NTRO) yang menyumbang kepada penyelidikan, inovasi, pendidikan dan pembangunan industri kreatif," jelasnya. 

Kata beliau, mengangkat tema AI, pameran yang bakal berlangsung pada Khamis ini itu menampilkan pelbagai medium termasuk lukisan, fotografi, filem, ilustrasi digital, media imersif, reka bentuk dan karya yang dihasilkan dengan bantuan AI.

Menurut Vimala, karya-karya dipamerkan mengupas pelbagai isu seperti identiti, memori, etika, hak kepengarangan, keaslian, persepsi dan budaya, sekali gus mengajak pengunjung menilai hubungan yang semakin rapat antara imaginasi manusia dan teknologi pintar. 

"Selain menjadi platform pameran seni, INVENTX Creative turut berperanan menggalakkan kerjasama antarabangsa antara artis, penyelidik, ahli akademik dan pemain industri kreatif dalam meneroka potensi kreativiti sebagai pemacu inovasi dan impak kepada masyarakat," ujarnya. 

 

Must Watch Video

Advertisement