Skip to main content

Bisnes

Kerajaan sokong kerjasama Weststar-RTI, Malaysia jangka mula keluar roket dalam dua tahun

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled berkata, kerjasama antara Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dan Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI) akan membuka ruang kepada pemindahan teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan serta kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi. - Gambar/ Bernama

CANBERRA: Malaysia dijangka memulakan pengeluaran roket dalam tempoh dua tahun sebelum diperluaskan kepada pengeluaran misil pada masa hadapan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama antara Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dan Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI) akan membuka ruang kepada pemindahan teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan serta kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi.

“Kerajaan menyokong sepenuhnya kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dan Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI) sebagai usaha membangunkan keupayaan tempatan dalam pengeluaran roket dan misil.

“Pelaburan yang dilaksanakan oleh Weststar turut membolehkan Malaysia menyertai rantaian pembekalan global RTI, sekali gus membuka peluang kepada industri tempatan untuk berkembang dalam ekosistem pertahanan antarabangsa.

“Usaha ini selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN)
untuk memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan serta menyumbang kepada pembinaan keupayaan pertahanan negara yang berdaulat (sovereign defence capability),” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya lagi, kerjasama strategik ini merupakan satu perkembangan penting dalam usaha memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara, khususnya dalam bidang teknologi roket dan misil.

Pada Rabu, Mohamed Khaled yang dalam lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Australia telah menyaksikan Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik antara Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI), yang berlangsung di sini, hari ini.

Perjanjian kerjasama tersebut telah dimeterai antara Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, dengan Pengasas RTI, Allan James Payne.

Must Watch Video

Advertisement