Skip to main content

Bisnes

Kementerian Kewangan pergiat sesi libat urus penyediaan Belanjawan 2027 - Amir Hamzah

PUTRAJAYA, 1 Julai -- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bercakap pada sidang media semasa mengadakan lawatan ke sebuah stesyen minyak di Presint 8 bagi melihat pelaksanaan BUDI MADANI Diesel hari ini.  Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar (kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bercakap pada sidang media semasa mengadakan lawatan ke sebuah stesyen minyak di Presint 8 bagi melihat pelaksanaan BUDI MADANI Diesel hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) telah memulakan sesi libat urus bagi penyediaan Belanjawan 2027 melibatkan beberapa kementerian dan lokasi di seluruh negara.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata MOF bersama kementerian berkaitan sedang giat mengadakan sesi berkenaan sebagai sebahagian daripada proses merangka Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober tahun ini.

“Sesi libat urus telah bermula, melibatkan beberapa kementerian dan beberapa lokasi, dan akan terus dirancakkan.

“Penyediaan Belanjawan 2027 mengambil masa bagi memastikan ia selari dengan hala tuju kerajaan,” katanya kepada media selepas meninjau pelaksanaan BUDI Diesel di sebuah stesen minyak, di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan kekal menggunakan kerangka Ekonomi MADANI sebagai asas utama dalam merangka belanjawan, dengan tumpuan kepada usaha meningkatkan “siling” dan “lantai” ekonomi bagi merancakkan pertumbuhan negara.

Beliau berkata selain kerangka Ekonomi MADANI, dasar yang telah diumumkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) turut menjadi panduan kepada hala tuju dasar kerajaan.

“Saya tidak mahu mendahului pembentangan belanjawan, namun struktur dan pendekatan kerajaan kekal konsisten berasaskan kerangka Ekonomi MADANI,” katanya sambil menambah kerajaan akan terus membangunkan negara bagi mencapai sasaran menjadi negara maju menjelang 2030.

Sebagai rekod, Belanjawan 2026 memperuntukkan sebanyak RM419.2 bilion, merangkumi RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, selain mengoptimumkan pelaburan berjumlah RM50.8 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, badan berkanun Persekutuan dan kerjasama awam-swasta bagi menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement