Skip to main content

Malaysia

AKPS syor perolehan senjata api Glock, perkukuh operasi dan keselamatan

PUTRAJAYA, 30 April -- Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Kompleks Setia Perkasa, hari ini. Delegasi Bernama diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta turut disertai Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Mohd Shukri Ishak. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPEL
Mohd Shuhaily berkata secara dasarnya, kerajaan bersetuju untuk membekalkan AKPS dengan senjata api bagi memudahkan urusan dan memastikan aspek keselamatan semasa bertugas.  - Gambar fail

PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mencadangkan perolehan senjata api jenis Glock bagi penggunaan pasukan itu berikutan spesifikasinya yang tahan lasak selain kos penyelenggaraan rendah.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata secara dasarnya, kerajaan bersetuju untuk membekalkan AKPS dengan senjata api bagi memudahkan urusan dan memastikan aspek keselamatan semasa bertugas.  

“Kita inginkan sesuatu yang mudah diselenggara dan tidak mempunyai kos selenggaraan yang besar. 

“Semua sedia maklum, senjata tersebut yang mana kita pakai selalunya ialah Glock, kurang penyelenggaraan dan lasak. Itu yang kita minta,” katanya selepas perhimpunan bulanan AKPS di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM22 juta bagi melengkapkan AKPS dengan senjata api dan kelengkapan bersesuaian. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu dipersetujui Perdana Menteri susulan keperluan mendesak untuk memperkukuh aspek keselamatan anggota AKPS selepas insiden tembakan ke atas kenderaan dinaiki seorang komander agensi itu di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Februari lepas.

Dalam kejadian itu, Proton X70 dipandu SAC Mohd Nasaruddin M Nasir yang kini Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS ditembak kira-kira 5.40 pagi di susur masuk berhampiran Masjid Muhajirin di Bukit Kayu Hitam, Kedah lebih kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Sementara itu, Mohd Shuhaily dalam ucapannya berkata AKPS kini melengkapkan anggota dan pegawainya dengan kepakaran baharu di luar bagi memastikan mereka kekal kompeten.

“Ini kerana harapan rakyat untuk menyaksikan satu pasukan yang cukup berwibawa berada di pintu masuk negara, berdiri dengan teguh dan penuh maruah diri, diikat dengan sikap serta ilmu kerja yang tinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan aspek integriti amat dititikberatkan dalam pasukan AKPS dengan amalan rasuah dan sebarang salah laku tidak akan dikompromi.

“Budaya rasuah dan salah laku di pintu masuk harus kita berikan tanda noktah. 

“Sejak beroperasi, AKPS dalam tempoh kurang daripada setahun kita telah menamatkan perkhidmatan lima pegawai dan 15 orang masih dalam prosedur tindakan tatatertib dan 50 lagi masih dalam siasatan aktif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement