Skip to main content

Malaysia

Ahli perniagaan didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng RT6

71743102937_courtgavel.jpg
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai "Geng RT6", sejak 2020.

S. Ashok Kumar, 50, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang "Geng RT6" di Sentul, di sini, antara 14 Jan 2020 hingga 27 April 2026, mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim dan Yazid Mustaqim Roslan manakala peguam Revin Kumar mewakili tertuduh.

Pada 25 Mei lepas, 11 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan sama. 

Mereka ialah A. Raja Ratanam, K. Sunthreson, C. Vijaya Kumar, N. Nadarajah, T. Raman, R. Vijayan, M. Kumaaran, N. Harichandran, S. Maran, Suwaran Singh Minder Singh dan Mohammad Atif Khan Mohammad Ali Khan yang berusia 22 hingga 48 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai Geng RT menerusi tindakan di bawah Akta Langkah-Langkah Keselamatan Khas 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Hussein Omar Khan berkata sindiket itu dipercayai aktif dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah serta jenayah kekerasan di sekitar Lembah Klang sejak 2020.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement