SHAH ALAM: Seorang ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah lebih RM98 juta antara 2021 hingga 2025.
Tertuduh, Fakhrudin Abd Karim, 57, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan selama hampir dua jam di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-149, beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu anggota IKRAM yang ditugaskan sebagai penandatangan yang diberi kuasa kepada akaun Maybank Islamic Cawangan Bukit Bintang milik Pertubuhan IKRAM Malaysia Daerah Hulu Selangor, menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM81.95 juta bagi sekutu tertuduh iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Tertuduh didakwa telah mengarahkan 149 transaksi pemindahan dana milik Pertubuhan IKRAM Malaysia Cawangan Hulu Selangor ke akaun Maybank Islamic Cawangan Dataran Maybank milik Ehsan Care Solution, sebuah NGO yang mempunyai kepentingan dengan tertuduh.
Bagi pertuduhan ke-150 hingga ke-158 pula, beliau didakwa melakukan kesalahan yang sama dengan mengarahkan sembilan transaksi pemindahan dana milik NGO berkenaan ke dua akaun Maybank Islamic miliknya berjumlah RM16.32 juta.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia Cawangan Hulu Selangor, di Bukit Beruntung, Rawang antara 6 Jan 2021 hingga 6 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh di hukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin, selain syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi.
Peguam Datuk N. Sivananthan bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kepada RM300,000 dengan alasan anak guamnya bersedia memberi kerjasama penuh sepanjang kes berlangsung selain anak lelaki serta rakan tertuduh bersedia untuk membayar jaminan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Selepas tamat prosiding, peguam pemerhati IKRAM Ashwida Abd Samad berkata pertubuhan itu telah mengeluarkan notis supaya tertuduh direhatkan daripada tugas sebagai pembuat keputusan, selain melarangnya terlibat dalam sebarang urusan operasi.
Sebelum ini, media melaporkan dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM230 juta.
-- BERNAMA