Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Memahami dunia, memperkasa negara: Mengapa undang-undang antarabangsa milik kita semua

41738359038_TBklcc.jpg
Malaysia wajib bangkit sebagai rule-shaper iaitu pihak yang aktif merangka dan mencorakkan undang-undang antarabangsa masa hadapan. - Gambar hiasan

KETIKA mendengar istilah “undang-undang antarabangsa”, apakah gambaran pertama yang muncul dalam fikiran kita? Barangkali sebuah mahkamah keadilan antarabangsa yang tersergam gah di Eropah, hakim berjubah hitam yang mengadili pertikaian antarabangsa, diplomat yang berucap di perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau dokumen perjanjian tebal yang hanya difahami oleh pakar dan sarjana. Ia kelihatan seperti sebuah dunia yang asing, jauh daripada denyut nadi kehidupan seharian rakyat biasa di Malaysia.

Namun hakikatnya, dunia yang kelihatan jauh itulah yang secara senyap membentuk landskap kehidupan kita dalam konteks keselamatan makanan import yang kita beli di pasar raya; kestabilan harga bahan api dan tenaga; kebebasan kapal dagang merentasi laluan maritim kritikal; hak berdaulat negara terhadap sumber asli serta peluang syarikat tempatan menembusi pasaran global.

Semua ini dipacu oleh jaringan peraturan atau peruntukan antarabangsa yang terlahir daripada kesepakatan negara-negara di peringkat global. Kita mungkin tidak melihatnya setiap hari, tetapi persis udara yang kita hirup, undang-undang antarabangsa sentiasa berfungsi di latar belakang bagi memastikan sistem global yang kompleks ini tidak runtuh.

Dalam konteks yang lebih besar, undang-undang antarabangsa bukan sekadar koleksi konvensyen hitam-putih. Ia adalah kerangka strategik yang melindungi kedaulatan, kepentingan, keselamatan dan maruah sesebuah negara dalam ekosistem dunia yang saling bergantung.

Tanpa kerangka ini, hubungan antarabangsa akan tunduk kepada hukum rimba, di mana yang kuat menentukan aturan dan yang lemah menanggung akibat.Perisai perlindungan ini tidak seharusnya hanya diletakkan di bahu diplomat, pakar undang-undang atau peguam antarabangsa. Ia digerakkan setiap hari oleh penjawat awam, pengawal selia, perunding perdagangan, penggubal dasar, dan pakar teknikal. 

Dalam geopolitik moden, mempertahankan kedaulatan bukan lagi sekadar tugas anggota keselamatan di sempadan fizikal; ia menuntut keupayaan institusi negara untuk menguasai dan memanfaatkan undang-undang antarabangsa sebagai instrumen pertahanan strategik.

Persoalannya: Adakah kita benar-benar memahami fungsi perisai ini, atau masih menganggapnya sebagai "urusan orang lain"? Persoalan ini amat penting kerana perisai yang tidak difahami tidak akan memberi perlindungan seolah-olah ianya hanyalah ilusi keselamatan yang akan roboh ketika badai melanda.

Apabila dunia mengetuk pintu Malaysia: Pengajaran kes tuntutan Sulu

Tanggal 9 Disember 2025 menandakan kemenangan besar dan bersejarah bagi Malaysia dalam kes tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu. Ia telah meninggalkan pengajaran yang mahal buat negara di mana keputusan Mahkamah Rayuan di Paris telah membatalkan sepenuhnya “Final Award” yang diputuskan oleh penimbang tara kontroversi, Gonzalo Stampa, pada 28 Februari 2022 yang bernilai lebih RM 61 bilion.

Selain membatalkan tuntutan berbilion ringgit tersebut, Mahkamah Rayuan Paris turut memerintahkan membayar kos prosiding guaman sebanyak €200,000 (kira-kira RM950,000) kepada Kerajaan Malaysia. Ini bukan lagi sekadar pertikaian sejarah yang terpencil. Ia menjelma sebagai perang undang-undang berisiko tinggi merentasi tiga bidang kuasa asing; Sepanyol, Perancis dan Belanda dan kes tuntutan tersebut melibatkan perundangan antarabangsa yang merentasi sempadan. Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan teknikal perundangan, tetapi keputusan yang mengembalikan maruah, kedaulatan, dan hak rakyat Malaysia, khususnya di Sabah.

Namun, kita tidak boleh melupakan harga yang terpaksa dibayar untuk pertempuran ini: komitmen masa bertahun-tahun daripada barisan kepimpinan dan pakar undang-undang; kos guaman antarabangsa yang mencecah jutaan ringgit; tekanan terhadap reputasi negara dan risiko fiskal yang berlarutan. Mesej utama ialah,sebarang keputusan domestik atau pentadbiran yang tidak diteliti melalui lensa undang-undang antarabangsa boleh berkembang menjadi krisis kedaulatan berbilion ringgit pada masa hadapan. 

Sejarah yang diabaikan akan sentiasa kembali untuk menuntut bayarannya daripada generasi terkemudian. Oleh itu, literasi undang-undang antarabangsa bukan lagi satu kemewahan intelektual, melainkan benteng barisan hadapan pertahanan negara.

Peraturan global dan periuk nasi rakyat

Jaringan undang-undang antarabangsa memberi impak langsung kepada sektor-sektor kritikal negara melalui beberapa instrumen utama:

1.⁠ ⁠Keterjaminan makanan dan kesihatan awam

Daging, susu, ikan, dan produk pertanian import yang memasuki pasaran domestik dikawal selia oleh piawaian keselamatan makanan antarabangsa (seperti Codex Alimentarius). Tanpa kawalan selia yang tegas dan selaras dengan instrumen antarabangsa, Malaysia berisiko menjadi tempat lambakan produk berkualiti rendah yang ditolak oleh negara lain. Begitu juga dalam sektor kesihatan; akses kepada ubat-ubatan generik, perlindungan harta intelek farmaseutikal, dan pengesahan keselamatan vaksin semuanya tertakluk kepada rundingan dan standard global.

2.⁠ ⁠Kedaulatan maritim dan sempadan

Hak persempadanan, wilayah dan maritim Malaysia di Laut China Selatan, keselamatan pelayaran dan perkapalan ditadbir oleh Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982) dan instrument antarabangsa yang berkaitan. Kes pertikaian mengenai kedaulatan terhadap Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan antara Malaysia dan Indonesia yang diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 17 Disember 2002 merupakan salah satu penanda aras terpenting kerana kemenangan Malaysia telah memicu aplikasi UNCLOS 1982 dalam aspek Zon Laut Wilayah (Territorial Sea), Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan basepoints.

3.⁠ ⁠Ekonomi digital dan kedaulatan data

Setiap saat, data rakyat dan transaksi ekonomi bergerak merentas sempadan. Terma keselamatan, hak akses, dan syarat pemindahan data ini sedang dibentuk oleh kerangka pengawalseliaan global yang baharu. Negara yang lewat menguasai naratif ini akan terpaksa akur kepada peraturan yang digubal oleh kuasa luar, sekali gus menggadaikan privasi dan kedaulatan digital negara.

4.⁠ ⁠Perdagangan dan eksport

Nasib para pengilang, petani, pengusaha industri sarung tangan, perabot, serta sektor elektrik dan elektronik (E&E) amat bergantung kepada undang-undang perdagangan antarabangsa di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta perjanjian perdagangan bebas (FTA). Satu pengenalan tarif, anti-lambakan (anti-dumping), atau sekatan teknikal yang tidak ditangani dengan bijak oleh pegawai kita boleh melumpuhkan rantaian bekalan dan menjejaskan pendapatan rakyat.Dalam analogi yang ringkas, undang-undang antarabangsa adalah payung negara. Namun, payung hanya berguna di tangan mereka yang tahu bila dan bagaimana untuk membukanya sebelum ribut melanda, bukannya selepas kita sudah basah lencun.

Blind spot (titik buta) dalam perkhidmatan awam

Dalam era kontemporari, kelemahan terbesar sesebuah institusi bukanlah perkara yang kita ketahui sebagai kelemahan, tetapi blind spot yakni risiko yang langsung tidak disedari keberadaannya sehingga ia meletus menjadi krisis. Terdapat tanggapan lapuk bahawa undang-undang antarabangsa adalah urusan eksklusif Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) atau Jabatan Peguam Negara (AGC) sahaja. 

Pegawai perdagangan menganggapnya urusan penasihat undang-undang kementerian, manakala pegawai teknikal melihatnya sebagai subjek yang berada di luar skop tugasan mereka. Akibatnya, timbul kecenderungan untuk menyerahkan tanggungjawab ini dari satu meja ke meja yang lain tanpa ada pemilik tuntas (clear ownership).

Di sinilah wujudnya jurang bahaya yang senyap kerana Malaysia mengamalkan pendekatan dualism iaitu sesuatu perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh kerajaan tidak akan secara automatik menjadi undang-undang domestik melainkan ia digubal, dibentangkan, dihujah dan diperundangkan oleh Parlimen. Pendekatan ini amat penting untuk memelihara kedaulatan perundangan negara. Walau bagaimanapun, ia kerap menimbulkan salah faham dalam kalangan agensi pelaksana yang menganggap obligasi antarabangsa tidak relevan dengan tugasan harian mereka sekiranya belum diwujudkan akta domestik yang khusus.

Hakikatnya, sebarang penggubalan dasar kementerian yang mengabaikan komitmen antarabangsa Malaysia boleh mendedahkan negara kepada pertikaian undang-undang di tribunal atau mahkamah antarabangsa, tindakan balas (retaliation) perdagangan serta penurunan penarafan kredit dan hilangnya kepercayaan pelabur global. Selain itu, ketiadaan literasi asas di peringkat agensi menyebabkan semua isu, sekecil mana pun, terpaksa dirujuk terus ke peringkat pusat. Birokrasi menjadi berlapis, proses membuat keputusan menjadi perlahan, dan negara kehilangan momentum ekonomi. Dalam pasaran global yang kompetitif, kelewatan bertindak adalah satu kerugian yang besar.
 
Membina keupayaan institusi, mengelakkan krisis

Matlamat kita bukanlah untuk menukarkan setiap penjawat awam menjadi pakar perundangan antarabangsa. Fokus utama adalah untuk menerapkan kesedaran undang-undang (legal awareness), literasi undang-undang antarabangsa (international legal literacy), dan naluri strategik (strategic instinct). Seorang pemandu tidak perlu menjadi jurutera automotif untuk mengendalikan kenderaan dengan selamat, tetapi dia wajib mengenali petunjuk amaran pada papan pemuka apabila enjin mula menghadapi masalah. Begitu juga dengan penjawat awam; mereka perlu tahu bila sesuatu isu mempunyai implikasi antarabangsa, bila pakar perlu dirujuk dan bagaimana keputusan domestik boleh memberi kesan kepada kedudukan diplomatik dan ekonomi negara.

Langkah reformasi keupayaan:

a) Transformasi modul latihan:

Institusi latihan seperti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) perlu memperkukuh modul latihan berasaskan kajian kes sebenar, simulasi rundingan, dan perancangan senario (scenario planning). Kes tuntutan Sulu, pertikaian maritim, tadbir urus karbondan perubahan iklim, serta mekanisme timbang tara antarabangsa mesti dijadikan bahan pembelajaran wajib untuk membina keupayaan jangkaan (foresight) dan penilaian situasi (situational awareness).

b) Pegawai perhubungan undang-undang antarabangsa (International Law Liaison Officers):

Mewujudkan rangkaian pegawai khusus di kementerian dan agensi strategik (seperti kementerian perdagangan, alam sekitar, digital, dan tenaga) sebagai sistem amaran awal. Mereka bertindak sebagai jambatan teknikal yang menghubungkan dasar domestik dengan Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara.

Melabur dalam membina keupayaan ini jauh lebih jimat berbanding kos yang perlu ditanggung apabila krisis berlaku. Kos latihan institusi mungkin melibatkan jutaan ringgit, tetapi kos menguruskan satu pertikaian antarabangsa yang gagal dijangka boleh menelan belanja ratusan juta ringgit dalam bentuk yuran guaman dan pampasan.

Belajar daripada negara kecil yang bersuara besar

Pengaruh di pentas dunia hari ini tidak lagi ditentukan semata-mata oleh saiz geografi atau kekuatan ketenteraan. Ia ditentukan oleh kepakaran, kredibiliti dan ketekunan membentuk idea. Singapura berjaya membina profil globalnya sebagai antara pusat timbang tara komersial antarabangsa terkemuka di dunia manakala Estonia memposisikan dirinya sebagai peneraju global dalam aspek tadbir urus karbon.

Contoh penting dan signifikan adalah pada tahun 2019 di mana sekumpulan pelajar universiti di Fiji memulakan gerakan mendesak agar isu tanggungjawab undang-undang terhadap perubahan iklim dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Usaha akar umbi ini memuncak terus ke pendengaran suatu Advisory Opinion ICJ, di mana mahkamah tertinggi dunia tersebut secara konsensus menegaskan bahawa negara-negara mempunyai obligasi undang-undang yang jelas untuk melindungi sistem iklim demi generasi masa kini dan masa hadapan, serta mengesahkan status sasaran mengehadkan suhu 1.5 darjah Celsius di bawah Perjanjian Paris.

Negara yang kecil boleh menggerakkan mahkamah tertinggi dunia dan membantu membentuk struktur mekanisma undang-undang antarabangsa jika mereka memiliki kepakaran yang tajam. Malaysia mempunyai segala kelebihan strategik sebagai negara membangun yang stabil, terletak di laluan maritim global utama, berbilang kaum dan aktif dalam blok ASEAN, OIC, serta NAM. Potensi ini hanya akan menghasilkan impak optima sekiranya penjawat awam kita mampu menterjemahkan kedudukan geopolitik ini menjadi pengaruh undang-undang dan diplomasi yang berkesan.

Daripada rule-taker kepada rule-shaper

Pertahanan negara pada abad ke-21 bukan lagi hanya berlaku di medan fizikal, tetapi di atas meja rundingan, forum pelbagai hala dan tribunal antarabangsa tempat peraturan dunia digubal. Di barisan hadapan, kita memerlukan diplomat, atase undang-undang, wakil perdagangan dan perunding teknikal yang tangkas mempertahankan kepentingan Malaysia di luar negara. Di barisan domestik pula, para penggubal dasar, pengawal selia data, serta pengurus sektor tenaga dan alam sekitar perlu bergerak seiring. Pengasingan fungsi (silo) antara dasar domestik dan diplomasi luar hanya akan melemahkan kedudukan negara.

Malaysia tidak boleh sekadar menjadi rule-taker iaitu negara yang hanya menerima dan menyesuaikan diri dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh kuasa-kuasa besar. Dalam sektor-sektor di mana kita mempunyai kelebihan kompetitif seperti kewangan Islam, biodiversiti, keselamatan makanan halal, dan pengurusan rantaian bekalan teknologi, Malaysia wajib bangkit sebagai rule-shaper iaitu pihak yang aktif merangka dan mencorakkan undang-undang antarabangsa masa hadapan.

Untuk mencapai matlamat ini, budaya perkhidmatan awam perlu berubah. Kefahaman tentang dinamik antarabangsa mesti diserapkan ke dalam DNA setiap agensi kerajaan. Negara yang berjaya bukanlah negara yang sekadar bertindak balas terhadap perubahan dunia, tetapi negara yang bijak membaca arah angin global dan bersiap sedia sebelum dunia mengetuk pintunya.

Penutup: Minda yang melindungi negara

Undang-undang antarabangsa pada akhirnya adalah tentang perlindungan kebajikan rakyat, keselamatan sempadan, ketahanan ekonomi dan masa depan generasi akan datang. Malaysia tidak lagi mempunyai kemewahan untuk melihat dinamik global sebagai sesuatu yang terasing.

Dunia luar sudah berada di ruang siber kita, sempadan laut kita, sektor eksport kita dan keselamatan makanan kita. Kita mempunyai dua pilihan. Pertama sama ada menjadi negara yang reaktif iaitu sentiasa bertahan, memberi tindak balas lewat, dan membayar harga yang mahal untuk krisis yang gagal kita jangka. Kedua,menjadi negara yang proaktif yang bersedia, kompeten, berwibawa dan dihormati kerana keupayaan kita menguasai serta mencorakkan peraturan global.

Sejarah tidak pernah mengingati negara yang hanya sekadar menjadi pemerhati. Sejarah akan mengingati negara yang hadir awal di meja rundingan, memahami kompas geopolitik dan berani memegang pena ketika lembaran peraturan baharu dunia sedang ditulis.

Perjalanan ini bermula dengan anjakan paradigma yang mudah: berhenti melihat undang-undang antarabangsa sebagai tugas orang lain. Ia adalah perisai kolektif negara kita. Dan di tangan mereka yang mahir, perisai ini bukan sahaja akan melindungi Malaysia daripada badai global, malah membolehkan negara berdiri tegak bersuara jelas dan turut membantu membentuk masa depan yang ingin diwariskan kepada generasi seterusnya.


* Datuk Yahaya Abdullah adalah Felo Akademi Kenegaraan Malaysia, pakar komunikasi strategik dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement