KULAI: Projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) yang dicadangkan bagi memperkukuh sistem pengangkutan awam di Johor Bahru akan dilaksanakan di bawah seliaan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) menerusi kaedah kerjasama awam swasta (PPP).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek itu tidak dilaksanakan menerusi proses perolehan tender Kementerian Pengangkutan (MOT), sebaliknya menggunakan mekanisme PPP yang telah diluluskan Jemaah Menteri, dengan UKAS bertanggungjawab menjalankan proses penilaian serta penyelarasan projek.
Beliau berkata UKAS ketika ini sedang melaksanakan penilaian akhir yang merangkumi aspek teknikal, kos serta tawaran dikemukakan pihak berkaitan sebelum surat tawaran dikeluarkan.
“Projek ini berada di bawah seliaan UKAS. Mereka sedang menjalankan penilaian terperinci sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kereta Api Kulai, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh; serta Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.
Loke berkata Sistem Aliran Transit Automasi (ART) ang digunakan dalam projek E-ART merupakan mod pengangkutan tanpa rel yang beroperasi di atas laluan bertingkat atau jejambat khas yang dibina secara khusus bagi mengasingkan pergerakannya daripada aliran trafik jalan raya.
“ART tidak menggunakan landasan seperti tren konvensional, sebaliknya menggunakan roda seperti bas dan disusun dalam konfigurasi berangkai bagi meningkatkan kapasiti penumpang,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu membolehkan sistem transit berkapasiti tinggi dibangunkan tanpa menjejaskan aliran trafik sedia ada di kawasan bandar.
Terdahulu, Onn Hafiz dalam ucapannya menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan projek E-ART yang disifatkan sebagai antara penyelesaian utama bagi mengurangkan kesesakan trafik di Johor Bahru, khususnya apabila Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link) mula beroperasi.
-- BERNAMA