Skip to main content

Dunia

Isu nuklear dibincang dalam fasa kedua selepas MoU Iran-AS ditandatangani - Araghchi

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi... kredit X@araghchi
Pada hari yang sama MoU ditandatangani, pusingan baharu rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat bagi mencapai perjanjian muktamad akan bermula, ujar Aragchi. - X @araghchi

IRAN dan Amerika Syarikat (AS) dijangka memulakan rundingan fasa kedua selama 60 hari sejurus memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara ditandatangani secara rasmi pada Jumaat ini.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi yang dipetik agensi berita Iran Tasnim News berkata, rundingan akan dilaksanakan dalam dua peringkat, dengan fasa kedua selama 60 hari tertumpu kepada isu nuklear dan pelepasan sekatan.

“MoU itu akan ditandatangani secara rasmi dalam masa terdekat, berkemungkinan pada hari Jumaat di lokasi yang akan diumumkan kemudian. 

“Pada hari yang sama, pusingan baharu rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat bagi mencapai perjanjian muktamad akan dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucap tama dalam pertemuan bersama duta, kuasa usaha serta ketua misi asing dan antarabangsa di Tehran hari ini.

Menurut Araghchi, fasa pertama rundingan tertumpu kepada usaha menamatkan perang, menangani isu Selat Hormuz, sekatan maritim dan pembinaan semula yang akhirnya membawa kepada pemeteraian memorandum persefahaman.

Araghchi turut mengesahkan MoU itu akan mula dilaksanakan secara rasmi pada Jumaat ini namun pengumuman penamatan perang telah dibuat pada semalam.

Tegasnya, penghentian pertempuran secara kekal dan segera di semua medan termasuk Lubnan merupakan elemen paling kritikal dalam MoU tersebut.

Jelas Araghchi, penamatan perang di Lubnan bukan sahaja melibatkan penghentian operasi ketenteraan, malah turut menuntut pengakhiran pendudukan rejim Zionis Israel yang dianggap boleh melanggar MoU tersebut.

Setakat ini, tiada laporan serangan baharu antara Iran dan AS sejak kedua-dua pihak mencapai persefahaman mengenai MoU yang dijangka ditandatangani secara rasmi pada 19 Jun.

Pertempuran langsung terakhir dilaporkan berlaku sekitar 9 hingga 11 Jun, susulan beberapa siri serangan balas antara kedua-dua pihak di kawasan Teluk Parsi dan Selat Hormuz.

Menurut Kementerian Kesihatan Iran Konflik yang bermula pada 28 Februari lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 3,468 nyawa di Iran serta mencederakan lebih 26,500 orang.

Must Watch Video

Advertisement