SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pemimpin yang membawa reformasi melangkaui batas kaum apabila pelbagai dasar yang diperkenalkan memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang etnik.
Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata, walaupun baharu memasuki penggal pertama sebagai Perdana Menteri, Anwar telah melaksanakan beberapa perubahan dalam sektor pendidikan yang turut memberi manfaat kepada pelajar dan sekolah Cina, tanpa menjejaskan hak kaum lain.
Menurutnya, reformasi pendidikan yang dilaksanakan Kerajaan Madani tidak seharusnya dilihat melalui lensa kaum semata-mata, sebaliknya bertujuan membangunkan bakat generasi masa depan serta memperkukuh daya saing negara.
Beliau berkata, sebagai contoh, dasar pengambilan matrikulasi masih mengekalkan nisbah 90:10 antara bumiputera dan bukan bumiputera, namun kerajaan memperkenalkan jaminan kemasukan kepada pelajar yang memperoleh keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Sejak sekian lama, kita perlu mengakui wujud rasa curiga dalam kalangan masyarakat Cina terhadap pelaksanaan dasar kerajaan terdahulu, khususnya dalam bidang pendidikan yang dianggap tidak adil kepada golongan minoriti.
“Justeru, Perdana Menteri cuba menangani situasi ini kerana jika tiada langkah diambil, akan ada pihak yang merasakan diri mereka tertindas, manakala pihak lain pula melihat sentimen tersebut sebagai keengganan menerima dasar negara.
“Keadaan itu akhirnya boleh merencatkan usaha memperkukuh perpaduan nasional,” katanya dalam satu kenyataan.
Ker Chean berkata, Anwar berusaha membina semula keyakinan masyarakat Cina terhadap kerajaan dengan menunjukkan bahawa pentadbiran negara tidak meminggirkan mana-mana kaum.
Menurutnya, reformasi yang dilaksanakan bukan bertujuan meraih sokongan mana-mana kelompok tertentu, sebaliknya demi masa depan seluruh rakyat Malaysia.
“Kita perlu keluar daripada pemikiran menang atau kalah semata-mata. Semua kaum perlu saling memahami keperluan masing-masing dan mengimbangi kepentingan bersama demi kebaikan negara,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Anwar tidak pernah menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan politik, sebaliknya konsisten membawa pendekatan sederhana dan inklusif.
“Beliau tidak memburuk-burukkan masyarakat Cina di hadapan orang Melayu, sebagaimana beliau juga tidak memburuk-burukkan orang Melayu di hadapan masyarakat Cina atau India.
“Pendekatan ini berbeza dengan sesetengah pemimpin politik yang gemar memainkan sentimen kaum untuk meraih sokongan, sekali gus membuktikan Anwar merupakan Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. - Sinar Harian