BIARRITZ: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa Iran akan berdepan kemusnahan besar sekiranya cuba memperoleh senjata nuklear.
Berucap dalam sidang media bersama Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani di Sidang Kemuncak G7, Trump menegaskan draf perjanjian antara Washington dan Tehran menetapkan syarat jelas bagi menghalang pemilikan senjata berkenaan, lapor Al Jazeera.
“Satu-satunya perkara yang amat penting bagi saya ialah Iran tidak akan pernah memiliki senjata nuklear, dan perkara itu dinyatakan dengan sangat jelas dalam perjanjian.
“Neraka’ akan melanda Iran jika mereka cuba mendapatkan senjata nuklear,” katanya kepada pemberita.
Trump berkata, di bawah syarat perjanjian itu, Tehran tidak dibenarkan sama sekali membangunkan senjata nuklear atau berdepan tindakan keras.
Beliau menyifatkan memorandum persefahaman (MoU) tersebut sebagai satu ‘tembok penghalang’ terhadap cita-cita nuklear Iran.
Dalam masa sama, Trump mengkritik Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang dimeterai di bawah pentadbiran bekas Presiden Barack Obama, dengan mendakwa ia memberi ruang kepada Iran untuk membangunkan senjata nuklear.
Kenyataan itu dibuat selepas pengumuman perjanjian di antara AS dan Iran yang turut membuka semula laluan strategik Selat Hormuz di Asia Barat.