KUALA LUMPUR: Institusi kekeluargaan di Iran menunjukkan tahap daya tahan yang tinggi dalam menghadapi tekanan serta ketidaktentuan akibat konflik berpanjangan susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Ahli Psikologi dan Pensyarah Universiti Tehran, Neda Maleki berkata ketahanan itu banyak dipengaruhi oleh kekuatan institusi keluarga, nilai budaya serta pegangan agama yang menjadi tunjang kehidupan masyarakat Iran.
“Nilai-nilai ini telah menjadikan masyarakat Iran lebih tabah dan berdaya tahan dalam menghadapi situasi yang sukar seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai siri Sidang Media Antarabangsa Dalam Talian bertajuk "Perang Ramadan dan Wanita Iran: Daripada Ketahanan kepada Pengaruh" pada 10 Jun lalu.
Maleki turut memaklumkan bahawa selama lebih 100 hari masyarakat Iran berhimpun di jalanan di bandar-bandar utama pada setiap malam bagi menyatakan sokongan terhadap pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Jelasnya, keadaan tersebut menunjukkan rakyat Iran berjaya menghadapi cabaran tersebut sebagai sebuah bangsa yang bersatu.
"Mereka menunjukkan bahawa konflik ini bukanlah perjuangan individu, sebaliknya perjuangan seluruh rakyat,” katanya lagi.
Menurut laporan pihak berkuasa dan badan pemantau antarabangsa, konflik yang tercetus sejak 28 Februari lalu mengorbankan lebih 3,000 rakyat Iran dan menyebabkan puluhan ribu lagi cedera.
Semalam, Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Undang-Undang dan Antarabangsa, Kazem Gharibabadi memaklumkan draf memorandum persefahaman (MoU) antara Iran dan AS telah dimuktamadkan selepas beberapa pusingan rundingan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan sebarang perjanjian akan dibuat berasaskan prinsip "ketidakpercayaan aktif" terhadap Washington, meskipun kedua-dua pihak bersetuju meneruskan usaha ke arah penyelesaian damai.
Media melaporkan majlis pemeteraian rasmi dijangka berlangsung di Geneva, Switzerland pada Jumaat ini.