ISTANBUL: FIFA pada Isnin menyatakan bahawa ia tidak menemukan bukti pelanggaran Kod Tatatertib FIFA selepas pegawai Pembantu Pengadil Video (VAR), Shaun Evans membuat isyarat tangan sebelum perlawanan Piala Dunia baru-baru ini, lapor Anadolu Ajansi.
“Jawatankuasa Tatatertib Bebas FIFA boleh mengesahkan bahawa selepas meneliti perkara membabitkan pegawai Pembantu Pengadil Video (VAR) Shaun Evans, pihaknya tidak menemukan sebarang bukti pelanggaran Kod Tatatertib FIFA,” menurut organisasi itu.
Evans, pegawai dari Australia dilihat dalam siaran perlawanan Jerman menentang Curacao pada Ahad membuat simbol tangan “OK”, satu isyarat yang dikaitkan dengan fahaman keagungan kulit putih dan diklasifikasikan sebagai simbol kebencian oleh Liga Anti-Fitnah pada 2019.”
Evans menafikan sekeras-kerasnya sebarang niat jahat, sambil menyifatkan gerakan itu sebagai “gerakan refleks tanpa sedar dan tidak disengajakan”.
Beliau melahirkan rasa kesal terhadap persepsi yang timbul susulan isyarat itu, namun menegaskan bahawa beliau tidak membuat simbol berkenaan secara “sedar atau sengaja”, yang mula mendapat perhatian selepas digunakan penyerang dalam insiden masjid Christchurch pada 2019 yang mengorbankan 51 umat Islam.
-- BERNAMA-ANADOLU