Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Agong terima menghadap MB Johor, dipersembah taklimat pembangunan negeri

YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP MENTERI BESAR JOHOR_FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Seri Paduka Baginda telah dipersembahkan dengan taklimat mengenai pencapaian ekonomi, pembangunan dan kemajuan Johor. - FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di Istana Pasir Pelangi, di sini.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda telah dipersembahkan dengan taklimat mengenai pencapaian ekonomi, pembangunan dan kemajuan Johor selain usaha dilaksanakan kerajaan negeri dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Sesi menghadap ini adalah sebahagian daripada rutin pertemuan berkala antara Seri Paduka Baginda dengan kepimpinan negeri bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai hal ehwal pentadbiran serta laporan pembangunan negeri," menurut hantaran itu.

Hantaran itu turut memaklumkan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Sultan Ibrahim.

Sejajar dengan hasrat berkenaan, pelbagai usaha kebajikan akan terus digerakkan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan Sultanah Fatimah dan Yayasan Sultanah Rogayah yang memainkan peranan penting dalam membantu golongan memerlukan serta meringankan beban rakyat di seluruh negeri itu. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement