MACHANG: Kira-kira 34,000 pemegang akaun di Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu Selatan dijangka menikmati bekalan air lebih stabil bermula September ini susulan projek penambahbaikan Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong bernilai RM11.5 juta yang meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat hampir dua kali ganda.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata kapasiti pengeluaran loji itu akan meningkat kepada 80 juta liter sehari berbanding 45 juta liter sebelum ini.
Beliau berkata sebelum ini Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak dapat meningkatkan pengeluaran bekalan air daripada loji berkenaan kerana bimbang ia menjejaskan kualiti air terawat.
“Melalui penambahbaikan menggunakan sistem penapis Xylem Underdrain Leopold, LRA Merbau Chondong kini mampu merawat antara 70 juta hingga hampir 90 juta liter air mentah sehari.
“Dengan peningkatan itu, kapasiti pengeluaran air terawat boleh mencecah 80 juta liter sehari, sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air kepada 34,000 pemegang akaun di kawasan terlibat,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke LRA Merbau Chondong di sini hari ini.
Izani berkata projek itu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini sebelum bekalan daripada sistem baharu mula disalurkan kepada pengguna pada awal September.
Beliau berkata penambahbaikan itu turut meningkatkan kualiti air terawat apabila bacaan Unit Kekeruhan Nefelometrik (NTU) berjaya dikurangkan daripada melebihi 10 NTU kepada tiga NTU.
Dalam perkembangan lain, Izani berkata kerajaan negeri bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) merancang membina Loji Air Machang 1 bernilai RM120 juta yang dijangka siap pada 2030.
Beliau berkata loji baharu itu mampu membekalkan 50 juta liter air sehari bagi memenuhi keperluan penduduk Machang, selain membolehkan kapasiti bekalan sedia ada di LRA Merbau Chondong diagihkan ke daerah lain yang memerlukan.
Menurut Izani, projek berkenaan kini menunggu pemuktamadan perjanjian antara kerajaan negeri dan PAAB sebelum proses pelantikan kontraktor dilaksanakan.
Sementara itu, Izani berkata AKSB telah menyelesaikan kira-kira 70 peratus masalah bekalan air membabitkan 270,000 akaun pengguna di negeri itu dan menyasarkan penyelesaian sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang 2035.
-- BERNAMA