KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,550 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak berjaya diturunkan oleh pemberi perkhidmatan berlesen hasil tindakan tegas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Jan 2022 hingga 30 Jun lepas.
Kementerian Komunikasi memaklumkan penurunan kandungan tersebut dilaksanakan melalui permohonan yang dikemukakan MCMC bagi menyokong usaha penguatkuasaan melalui bantuan teknikal termasuk perkongsian maklumat dan analisis forensik digital bagi membantu siasatan pihak berkuasa.
"MCMC turut melaksanakan pemantauan proaktif terhadap kandungan memudaratkan dan mengambil tindakan kawal selia di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866]," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Michael Mujah Lihan mengenai jumlah kes penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian (CSAM) serta tindakan kerajaan menanganinya.
Menurut kementerian itu, statistik kes jenayah berkaitan penyalahgunaan AI dan penyebaran CSAM direkodkan agensi penguat kuasa khususnya Polis Diraja Malaysia, mengikut bidang kuasa masing-masing.
Mengenai aspek perundangan, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa 1 Jan lepas, mewajibkan pemberi perkhidmatan aplikasi dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan berlesen memastikan platform mereka lebih selamat, termasuk daripada bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
Selain itu, Kod Perlindungan Kanak-Kanak yang berkuat kuasa pada 1 Jun mewajibkan pemberi perkhidmatan berlesen melaksanakan langkah perlindungan, termasuk pengesahan umur dan larangan pendaftaran pengguna media sosial berumur bawah 16 tahun.
Bagi aspek kesedaran awam, kementerian memaklumkan Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di 10,303 sekolah dan institusi pengajian tinggi serta menerusi 2,143 program komuniti, melibatkan 2,190,104 peserta di seluruh negara setakat 30 Jun.
-- BERNAMA