SONGKHLA: Sebanyak 10 guni dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira 60 juta baht (RM7.38 juta) berjaya dirampas pihak berkuasa Thailand selepas mengejar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis trak pikap, dua hari lalu.
Kesemua dadah tersebut ditemui selepas kenderaan berkenaan terlibat dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri.
Sebelum itu, kenderaan berkenaan dipercayai telah merempuh satu sekatan jalan raya di pusat pemeriksaan, dalam laluan sejauh kira-kira 150 kilometer dari Hat Yai menuju ke Phatthalung.
Operasi mengejar dilakukan Pegawai Pencegahan dan Penindasan Jenayah Balai Polis Hat Yai bersama Unit Anti-Narkotik, diketuai Ketua Polis Hat Yai, Kolonel Polis Macha Kaewthong serta Leftenan Kolonel Polis Adinan Wongmadthong.
Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi pada 23 Jun lalu apabila kenderaan itu hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik.
Dua suspek bagaimanapun melarikan diri dan meninggalkan kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemui 10 guni mengandungi kira-kira dua juta pil methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI.
Turut ditemui dalam kenderaan itu pelbagai objek kepercayaan tradisional termasuk azimat, tangkal, pisau ritual Mitmor serta azimat Phan Thai.
Menurut kepercayaan tempatan, objek tersebut dipercayai mampu melindungi pembawanya dan mengelakkan daripada halangan.
“Dipercayai suspek menggunakan barangan ini sebagai pelindung bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa telah mengenal pasti pemilik berdaftar kenderaan itu yang berasal dari Mukim Lan Khoi, daerah Pa Phayom, wilayah Phatthalung.
Siasatan kini giat dijalankan bagi mengesan suspek serta mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah terlibat.
Sementara itu, Penasihat Khas Polis Diraja Thai merangkap Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah 9, Leftenan Jeneral Polis Archan Chansiri memaklumkan, bekalan dadah tersebut dipercayai sedang dihantar ke lokasi penyerahan di sekitar Hat Yai.
Beliau berkata, dadah berkenaan dibawa secara terbuka di bahagian belakang trak tanpa sebarang usaha penyembunyian.
“Pihak kami kini sedang memburu dua individu terlibat serta menjejaki rangkaian sindiket tersebut,” katanya.
Pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan dadah itu cuba diseludup masuk ke Malaysia, namun siasatan lanjut masih dijalankan oleh Bahagian Narkotik Thailand.