HANOI: Semua lapangan terbang di Vietnam akan menempatkan pasukan keselamatan penerbangan yang dilengkapi dengan keupayaan untuk mengesan dan menangani kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) pada 2027, menurut satu projek yang diluluskan kerajaan baru-baru ini, lapor Xinhua yang memetik akhbar tempatan Suc Khoe & Doi Song pada Selasa.
Projek itu, yang diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri Pham Gia Tuc pada Isnin, bertujuan meningkatkan kapasiti lapangan terbang bagi memastikan aspek keselamatan dan kemudahan pengguna dalam mendepani situasi baharu.
Di bawah projek berkenaan, pihak polis, pihak berkuasa kastam, sektor penerbangan dan agensi berkaitan lain akan menghubungkan serta berkongsi data secara berperingkat bermula 2027 selaras dengan undang-undang bagi menyokong pemeriksaan keselamatan, pengurusan risiko dan pemudahan prosedur penerbangan.
Bagi tempoh 2028 hingga 2030, lebih 80 peratus lapangan terbang di seluruh negara dijangka menerima pakai teknologi canggih seperti sistem pemeriksaan automatik, pengecaman biometrik, pengawasan pintar dan penyelesaian teknologi bersesuaian yang lain untuk kawalan keselamatan, penyelarasan operasi serta perkhidmatan penumpang.
Vietnam juga menyasarkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya sebuah lapangan terbang yang beroperasi di bawah model selamat, pintar dan mesra penumpang untuk berada dalam senarai 20 lapangan terbang terbaik di dunia.
-- BERNAMA-XINHUA